Ian  (kiri) bersama Pengurus Pembangunan Pangsapuri Victoria, Ben Coughlan menunjukkan model projek pembangunan 888 Collins.
Ian (kiri) bersama Pengurus Pembangunan Pangsapuri Victoria, Ben Coughlan menunjukkan model projek pembangunan 888 Collins.

Kuala Lumpur: Pelaburan hartanah di luar negara dilihat semakin mendapat sambutan daripada rakyat Malaysia dan antara segmen pelaburan hartanah yang meningkat permintaannya adalah di Australia dan Singapura.

Ketua Pegawai Eksekutif Jalin Realty International, Ian TK Chen berkata, kebanyakan rakyat Malaysia sekarang bukan saja melabur dalam bidang pendidikan, malah termasuk hartanah.

Katanya, banyak peluang untuk melabur hartanah di negara seperti Australia terutamanya kerana tidak sukar untuk membeli hartanah dan paling penting perlu mendapatkan maklumat tepat mengenai projek yang diinginkan.

“Jalin Realty menyediakan perkhidmatan lengkap daripada perancangan projek sehingga khidmat nasihat termasuk pinjaman dan undang-undang yang perlu dipatuhi pembeli asing. Malah, kami menerima sambutan begitu menggalakkan dan dalam tempoh lima tahun saja, syarikat menjual lebih 2,000 hartanah kediaman di Melbourne.

“Rakyat Malaysia sangat tertarik dengan Melbourne kerana persekitaran dan kepelbagaian kaum dalam kalangan penduduk. Ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana Melbourne dinobatkan antara bandar paling sesuai didiami di dunia oleh Unit Kajian Ekonomi berpusat di London, dan dalam Indeks Bandar Paling Sesuai Didiami Monocle 2013,” katanya kepada Bisnes Metro.

Chen berkata, kerajaan Australia juga menyediakan visa khas bagi pelabur yang membuat pelaburan lebih 5 juta dolar Australia(RM14.6 juta).

“Lebih menarik bagi pelabur yang mahu membuat pelaburan di luar negara, mereka bukan saja boleh membeli unit kediaman, malah lot tempat letak kereta dan bilik kecil. Semuanya mempunyai nilai dan pelabur boleh mendapat hak pegangan dan menyewakannya untuk menjana keuntungan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 November 2014 @ 5:07 AM