Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Pelaburan hartanah di kawasan luar bandar semakin menjadi perhatian kerana dilihat mampu memberi keuntungan dan pulangan jangka panjang yang besar walaupun ramai pelabur yang tidak menyedari perkara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Aliy Property Advisors Sdn Bhd Mohd Ali Abdul Majis berkata, sudah menjadi kebiasaan bagi kebanyakan pelabur tertumpu di kawasan utama dan bandar hingga menyebabkan hartanah di bandar semakin mahal.

Katanya, apabila permintaan yang semakin tinggi memberi ruang kepada pihak tertentu mengambil kesempatan dan golongan sederhana dan miskin tidak mampu miliki hartanah di bandar.

“Masih ramai di luar sana yang tidak sedar potensi pelaburan hartanah luar bandar menerusi peluang yang terbuka apabila jarak dan masa ke bandar lebih mudah dengan sistem jalan raya sekarang. Dengan pelaburan hartanah luar bandarlah pembeli dapat memiliki hartanah pada harga berpatutan dan miliki kediaman bertanah.

“Malah, terbukti harga hartanah luar bandar juga semakin naik kerana sentiasa mempunyai permintaan dan kebanyakan hartanah luar bandar juga sudah mempunyai asas infrastruktur selain pelabur mampu memiliki hartanah lebih selesa di luar bandar,” katanya.

Menurutnya, orang ramai perlu mengambil peluang memiliki hartanah idaman mereka semasa harga masih murah dan jangan mengambil sikap tunggu dan lihat.

Mohd Ali berkata, untuk memastikan pelaburan hartanah di luar bandar yang dibuat tidak merugikan adalah dengan membuat kajian pasaran, melihat perancangan bandar dan infrastruktur sesuatu kawasan bagi jangka masa sederhana dan panjang sebelum melabur.

Beliau berkata, kajian dan statistik menunjukkan hartanah adalah portfolio pelaburan paling selamat dan memberi pulangan pelaburan yang baik.

“Orang ramai tidak akan tersilap dalam pelaburan hartanah sekiranya mempunyai asas ilmu mengenainya. Nasihat saya, tetapkan objektif pelaburan sendiri.

“Buat pilihan bijak, ambil kira kedudukan kewangan anda, jangan terlalu tertumpu kepada kawasan bandar dan utama, rebut peluang pelaburan hartanah di luar bandar sekarang kerana kajian menunjukkan harga hartanah tetap naik,” katanya.

Katanya, buat masa ini pelaburan hartanah luar bandar belum menjadi trend, tetapi pelabur sekarang semakin bijak dan sudah mula melihat peluang pelaburan hartanah luar bandar adalah bernilai untuk wang mereka serta dapat miliki hartanah pada harga yang diidamkan.

Pihak pemaju mula memberi tumpuan dan peluang pelaburan kepada pembeli hartanah kawasan luar bandar kerana potensi permintaan selain menyediakan hartanah mampu milik kerana kos tanahnya lebih murah.

“Paling penting, sama ada di luar bandar atau dalam bandar persedian pertama yang diperlukan ialah objektif pelaburan kemudian portfolio kewangan yang baik.

“Kemudian lihat pada infrastruktur dan juga dapatkan maklumat mengenai pembangunan sekitar dalam masa 5 hingga 10 tahun akan datang. Sebagai contoh jika anda melihat tahun lalu Perak adalah negeri mempunyai kenaikan tertinggi untuk nilai hartanahnya (Sumber:HonChinsoon),” katanya.

Mohd Ali berkata, pihaknya percaya kawasan luar bandar seperti di Selangor, Pulau Pinang, Perak, Kedah, Johor dan Melaka akan mencatat pertumbuhan dan permintaan seiring kemajuan ekonomi negeri itu, termasuk beberapa negeri lain di Semenanjung dan Sabah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 April 2015 @ 5:04 AM