Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: SK Properties Sdn Bhd mencadangkan kepada mereka yang ingin melabur dalam hartanah di luar bandar supaya mencari lokasi berdekatan dengan intitusi kerajaan atau di kawasan pelancongan yang sering dilawati.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Saufi Karim berkata, ia memastikan pelaburan yang hartanah dibuat memberi pulangan, selain lokasi hartanah itu sendiri.

Katanya, walaupun kadar kenaikan hartanah di luar bandar lebih rendah berbanding di bandar besar, namun tidak salah untuk mereka memilih melabur hartanah luar bandar.

“Pada pendapat saya, pelaburan hartanah luar bandar bukan hanya semata-mata untuk mengaut keuntungan. Malah, hartanah di luar bandar juga mengalami kenaikan seperti di bandar, cumanya kadarnya lebih rendah berbanding di bandar besar.

“Terdapat dua perkara yang perlu dipertimbangkan bagi mereka yang ingin membuat pelaburan hartanah di luar bandar iaitu pertama, hartanah luar bandar yang mampu menjadi tarikan pelancong dan kedua, berdekatan dengan institusi kerajaan yang mempunyai permintaan tinggi,” katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, ramai pelabur membeli hartanah seperti di Janda Baik, Pahang dengan harga rendah dan kemudian dibangunkan menjadi resort serta pulangannya sangat lumayan.

Selain itu, Saufi berkata, apabila terbina Kolej Komuniti di Bukit Senggih Selandar, Melaka, secara tidak langsung banyak perumahan dibina dan ia baik untuk perkembangan hartanah di luar bandar.

“Pelaburan hartanah luar bandar sesuai jika pelabur boleh menguruskannya kerana kadang-kala pengurusan hartanah juga menjadi faktor pembelian dan penjualan hartanah berkenaan.

“Jika berminat untuk membuat pelaburan hartanah di luar bandar, sekarang adalah masanya kerana harga rumah di sana masih dikira berpatutan berbanding pasaran hartanah sekarang ini,” katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun pelaburan hartanah luar bandar tertakluk kepada undang-undang atau majlis negeri dan pembeli mesti mematuhi syaratnya sebagai contoh di Kelantan, hanya mereka yang lahir di negeri itu saja layak membeli rumah atau tanah di sana.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 April 2015 @ 5:04 AM