PERANCANGAN kewangan sangat penting.
PERANCANGAN kewangan sangat penting.
Muhamaad Razis Ismail


JENIS pelaburan hartanah secara dasar terbahagi kepada dua iaitu pelaburan hartanah secara langsung dan tidak langsung.

Pelaburan hartanah secara langsung adalah pemilikan hartanah secara fizikal seperti membeli atau membina rumah.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Pengurusan Hartanah, Kolej Pengajian Alam Bina, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Dr Nurul Afiqah Azmi berkata, melalui jenis pelaburan ini, pemilik boleh melakukan sesuatu dengan meningkatkan modal hartanah.

Katanya, pelabur membeli hartanah, kemudian lakukan sedikit pengubahsuaian sebelum menjual kembali pada harga melebihi harga belian dalam masa lima tahun ke atas bagi mengelakkan cukai keuntungan hartanah.

"Pelabur boleh membeli hartanah pada harga rendah dan menjualnya kembali pada harga tinggi.

"Kaedah ini boleh dilakukan dengan mencari hartanah daripada pasaran lelong ataupun membelinya dari pemilik yang terdesak ingin melepaskan hartanah mungkin disebabkan ketidakmampuan pembeli membayar ansuran bulanan," katanya.

Menurutnya, selain itu pelabur boleh membeli hartanah, kemudian menyewakannya dengan meletakkan kadar sewaan melebihi harga ansuran bulanan yang dibayar kepada institusi perbankan.

PEMILIHAN harga hartanah juga mesti di bawah julat harga pertengahan.
PEMILIHAN harga hartanah juga mesti di bawah julat harga pertengahan.

"Bagi hartanah kediaman yang berdekatan pusat pelancongan boleh juga dijadikan rumah tumpangan dan berdaftar dengan Airbnb," katanya.

Jelasnya, pemilihan harga hartanah juga mesti di bawah julat harga pertengahan kerana sekiranya berlaku keadaan seperti tidak mendapat sambutan untuk sewaan, pelabur boleh menurunkan kadar sewa.

Manakala pelaburan hartanah secara tidak langsung pula adalah melabur dalam saham hartanah yang berdaftar seperti saham syarikat hartanah dan saham syarikat amanah pelaburan hartanah.

"Pelaburan ini dikatakan lebih tinggi kecairannya berbanding melabur dalam harta tanah fizikal.

"Antara perkara yang perlu di pertimbangkan dalam pelaburan hartanah secara tidak langsung adalah dengan mencari syarikat pengurusan yang berwibawa dan tersenarai di pasaran hartanah terjamin.

"Selain mengkaji sejarah rekod prestasi syarikat hartanah itu khususnya melihat kepada prestasi bagi lima atau 10 tahun ke belakang, perhatikan portfolio hartanah itu yang sepatutnya mendapat sambutan.

PASTIKAN pelaburan menguntungkan.
PASTIKAN pelaburan menguntungkan.

"Terakhir lihat hasil dividen bagi hartanah itu untuk lima tahun ke belakang," katanya.

Tambahnya, jika dikaji masih ada pelbagai kaedah dan teknik untuk melabur dalam hartanah untuk mendapatkan keuntungan optimum.

"Namun, segelintir masyarakat masih tidak tahu kaedah terbaik yang boleh dilaksanakan.

"Selain itu, keadaan ekonomi semasa juga menyukarkan lagi masyarakat membuat keputusan dalam membuat pelaburan hartanah," katanya.

Justeru itu, beliau menasihatkan supaya pelabur hartanah membuat perancangan yang sepatutnya sebelum membuat sebarang pelaburan kerana pelaburan hartanah memerlukan modal besar.

"Perancangan kewangan sangat penting. Elakkan menambah hutang baru jika tidak berkemampuan dan cuba selesaikan hutang sedia ada.

"Jika peminjam perumahan berdepan kesulitan membayar balik pinjaman perumahan ataupun lain-lain pinjaman, mereka perlu mengambil langkah proaktif dengan menghubungi institusi kewangan masing-masing atau dapatkan khidmat nasihat Agensi Kaunseling dan Pengurusan

Kredit (AKPK) bagi membantu peminjam menstrukturkan semula pinjaman sedia ada, sekali gus membolehkan peminjam meneruskan bayaran pinjaman sedia ada," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 November 2022 @ 6:11 AM