Mohamad Nasir  (dua dari kiri) bertukar dokumen perjanjian dengan Pengarah Urusan Greater China Goodman, Philip Pearce (dua dari kanan) pada majlis menandatangani memorandum perjanjian.
Mohamad Nasir (dua dari kiri) bertukar dokumen perjanjian dengan Pengarah Urusan Greater China Goodman, Philip Pearce (dua dari kanan) pada majlis menandatangani memorandum perjanjian.
Oleh Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Lembaga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memeterai perjanjian usaha sama dengan Goodman Group dari Australia untuk membangunkan aset logistik di Malaysia dengan nilai pembangunan keseluruhan RM1.4 bilion.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Bahagian Pelaburannya, Mohamad Nasir Ab Latif berkata, kerjasama selama tiga tahun itu menyaksikan lapan projek akan dibina membabitkan pembangunan kemudahan logistik seperti gudang di Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang.

“Kerjasama dengan nisbah perkongsian 50:50 itu membabitkan pelaburan awal sebanyak AS$100 juta (RM360 juta) bagi setiap projek dengan kadar pulangan dalaman (IRR) 15 peratus dalam tempoh lima hingga enam tahun akan datang,” katanya pada sidang media selepas menandatangani perjanjian terbabit di sini, semalam.

Kerjasama itu kali ketiga antara KWSP dan Goodman Group dengan kolaborasi pertama bermula pada 2012 menerusi aset di Australia dan diikuti Jerman pada 2013.

Beliau berkata, pembabitan Goodman Group sebagai organisasi global terkemuka dalam projek itu menunjukkan keyakinan pelabur asing di rantau Asia Tenggara terutama Malaysia, sekali gus meletakkan negara sebagai destinasi pilihan pelabur di rantau ini.

Menurutnya, komitmen KWSP dalam projek itu sebahagian daripada program diversifikasi untuk melabur dalam aset berhubung kait inflasi di mana kelas aset ini boleh menjadi mekanisme lindung nilai inflasi berkesan sesuai dengan objektif jangka panjang KWSP sebagai sebuah dana persaraan.

“Kami akan terus menerokai peluang dalam hartanah, infrastruktur dan sumber semula jadi selaras dengan Alokasi Aset Strategik (SAA) KWSP,” katanya.

Sehingga 31 Disember 2014, Hartanah dan Infrastruktur menyumbang 3.01 peratus daripada jumlah aset pelaburan KWSP bernilai RM1.39 bilion dalam pendapatan pelaburan di mana kenaikan 22.3 peratus daripada pendapatan pada 2013.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Februari 2015 @ 5:10 AM