Chicago: Anggota polis Texas yang rakaman video disiarkan dalam YouTube ketika dia menarik dan menekan seorang remaja perempuan kulit hitam serta mengacukan pistol kepada beberapa lagi lelaki kilit hitam, meletak jawatan semalam.

Ketua Polis McKiney, Greg Conley, menyatakan jabatannya tidak bersetuju dengan tindakan Eric Casebolt itu dan menegaskan ia tidak selaras dengan piawaian tinggi jabatannya.

Rakaman video dirakam seorang remaja ketika pesta kolam renang itu menunjukkan Casebolt , anggota polis kulit putih, melaungkan kata-kata kurang sopan kepada remaja perempuan kulit hitam itu ketika mengarahkannya berbaring ke tanah.

Dia juga menarik remaja berbikini itu ke tanah dan menekannya sebelum mengeluarkan pistol dan mengacukan kepada dua lelaki kulit hitam yang cuba membantu remaja berkenaan.

“Dasar, latihan dan amalan kami tidak menyokong tindakannya,

“Seperti dalam rakaman itu, dia kelihatan hilang kawalan,” kata ketua polis itu.

Pihak berkuasa melakukan siasatan selepas rakaman video itu muncul dan menjadi viral di internet serta disiarkan berulang kali oleh stesen televisyen.

Kejadian itu berlaku ketika ketegangan kaum memuncak di Amerika Syarikat berikutan beberapa kejadian yang dianggap perkauman, termasuk tindakan anggota polis kulit putih menembak mati beberapa lelaki kulit hitam. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Jun 2015 @ 12:28 PM