Seorang penunjuk perasaan membawa tong di atas bahunya ketika memprotes hukuman mati terhadap Chiou di depan Kementerian Keadilan di Taipei.
Seorang penunjuk perasaan membawa tong di atas bahunya ketika memprotes hukuman mati terhadap Chiou di depan Kementerian Keadilan di Taipei.
AFP

Taipei: Seorang banduan Taiwan yang paling lama menunggu dilaksanakan hukuman mati dan mendakwa mengaku salah selepas diseksa bakal diberikan peluang terakhir untuk bebas dalam kes yang mencetus kritikan daripada kumpulan hak asasi manusia.

Peguam Chiou Ho-shun, 55, yang dikenakan hukuman mati pada 1989, mengemukakan usul di Mahkamah Tinggi Taipei memohon perbicaraan semula diadakan selepas dua pesara polis menyokong dakwaan bahawa dia diseksa.

Anggota polis terbabit mengemukakan bukti kepada badan pemerhati kerajaan utama, Control Yuan pada 2013 yang seterusnya mencadangkan ‘rayuan luar biasa’ kepada pendakwaan.

Namun, rayuan itu ditolak akhir tahun lalu, menyebabkan Yayasan Pembaharuan Kehakiman berusaha supaya perbicaraan itu dapat diadakan semula.

Chiou didapati bersalah kerana menculik dan membunuh kanak-kanak lelaki berusia enam tahun serta merompak dan membunuh seorang wanita. Dia bagaimanapun menarik balik pengakuannya sejurus selepas disoal siasat.

Menurut Chiou dia dipukul, dikenakan renjatan elektrik dan dipaksa duduk di atas ais sambil matanya ditutup dalam penjara kecil dan terasing ketika disoal siasat polis sepanjang beberapa bulan.

Rayuannya berkali-kali ditolak apabila Mahkamah Tinggi memberi keputusan akhir tiga tahun lalu supaya hukuman ke atasnya harus dijalankan menyebabkan kedua-dua pesara polis terbabit tampil sebaik keputusan dibacakan.

Seorang daripada mereka dikenali sebagai Wu berkata: “Dia tidak sepatutnya dikenakan hukuman itu.

“Chiou diseksa supaya mengaku. Banyak butiran pengakuannya tidak sepadan dengan bukti dikemukakan polis dan suspek lain.”

Wu - seorang daripada 20 pegawai yang bertugas mengendalikan kes itu - bercakap secara terbuka buat kali pertama mengenainya di luar Kementerian Keadilan di Taipei, semalam.

Sementara itu, Pengarah Asia Timur Amnesty International Roseann Rife menyelar kes itu sebagai titik hitam dalam sistem kehakiman Taiwan.

“Pengakuan diperoleh secara penyeksaan tidak patut diterima langsung mahkamah. Perbuatan itu melanggar undang-undang antarabangsa dan memperolokkan keadilan di Taiwan,” katanya.

Chiou antara 42 banduan yang dijatuhi hukuman mati. Taiwan mula menjalankan semula hukuman mati pada 2010 selepas menghentikannya selama lima tahun, menjadikan 27 banduan mati termasuk enam banduan minggu lalu sejak ia mula dilaksanakan kembali.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Jun 2015 @ 7:19 AM