PASUKAN penyelamat menarik mayat seorang mangsa yang ditemui semalam.
PASUKAN penyelamat menarik mayat seorang mangsa yang ditemui semalam.

Jianli (China): Pasukan penyelamat menebuk tiga lubang pada perut kapal yang terbalik dalam sungai awal minggu ini dalam usaha mencari mangsa yang mungkin terselamat dalam nahas di Sungai Yangtze itu

Sementara itu, sebanyak 77 mayat ditemui manakala lebih 360 yang lain masih hilang dan dikhuatiri maut.

Pekerja berjaya menstabilkan kapal itu menggunakan kren sebelum memotong beberapa bahagian kapal itu untuk mencari mangsa yang mungkin terperangkap dan terselamat.

Setakat ini, pihak berkuasa berkata sekurang-kurangnya 14 berjaya diselamatkan dalam kejadian lewat Isnin itu akibat ribut kencang.

Ada mangsa terselamat selepas terjun ke dalam sungai pada awal kejadian sebelum berenang ke daratan.

Tiga mangsa yang terperangkap dalam poket udara di dalam perut kapal diselamatkan selepas jeritan mereka didengar pasukan penyelamat, Selasa lalu.

Walaupun peluang menemui mangsa terselamat amat tipis, pihak berkuasa belum menghentikan usaha mencari.

Lebih 200 penyelam mencari mangsa di bawah air dalam tiga syif dengan memeriksa setiap kabin.

Semalam, 51 mayat ditemui menjadikan jumlah kematian keseluruhannya 77, kata ketua daerah jianli Huang Zhen.

Semua mayat dibawa ke Rongcheng di Jianli untuk proces pengecaman oleh anggota keluarga.

Nahas kapal Eastern Star itu dianggap tragedi paling buruk dalam industri perkapalan China dalam tempoh tujuh dekad.

Kebanyakan 450 penumpang Eastern Star itu warga emas yang mengikuti rombongan pelancongan dari Nanjing ke Chongqing. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Jun 2015 @ 6:59 AM