Anggota keluarga mangsa melawat lokasi pesawat MU5375 China Eastern terhempas. - FOTO AFP
Anggota keluarga mangsa melawat lokasi pesawat MU5375 China Eastern terhempas. - FOTO AFP
AFP

Wuzhou: Pasukan pencarian menggunakan dron dan peralatan pengimejan suhu, di kawasan pergunungan yang menjadi lokasi pesawat China Eastern Airlines terhempas.

Empat hari selepas pesawat MU5735 membawa 132 penumpang itu dilaporkan terhempas di kawasan dekat Wuzhou, selatan China, petugas pencarian sehingga kini belum mengisytiharkan bahawa kesemua penumpang dan sembilan kru penerbangan berkenaan meninggal dunia.

Disebabkan kelajuan pesawat itu ketika jatuh dan menerobos dataran berlumpur, rangka kapal terbang serta barang milik penumpang dilihat bertebaran di seluruh lokasi nahas.

Ini secara langsung seakan meranapkan harapan untuk menemui mangsa terselamat dalam tragedi penerbangan China yang disifatkan sebagai terburuk dalam tempoh tiga dekad.

Berdasarkan pengamatan wartawan AFP, seorang waris mangsa nahas berkenaan dilihat menyeka air mata sambil tubuhnya dipapah dua lelaki, ketika tiba di laluan masuk lokasi kejadian pagi tadi diselubungi perasaan pilu.

Meskipun hujan, waris mangsa terbabit menyertai usaha pencarian dikendalikan pasukan bomba, polis dan wartawan di sekitar lokasi nahas yang dipenuhi serpihan pesawat.

Petugas pencarian semalam memaklumkan cebisan mayat manusia ditemui di lokasi nahas, namun mereka belum menolak kemungkinan untuk menjumpai mangsa terselamat di kawasan hutan tebal dan lereng berlumpur itu.

Pegawai Pasukan Bomba dan Penyelamat Guangxi, Huang Shangwu berkata, misi ketika ini lebih terarah kepada usaha mencari mangsa terselamat, seperti arahan dari ibu pejabat.

"Kita sedang menggunakan pengimbas haba dan alat pengesan di sekitar kawasan iniā€¦ kita juga melakukan pencarian secara manual dan bersandarkan dron," katanya.

Pada masa sama, pasukan pencarian mempergiatkan usaha untuk menjejaki kotak hitam pesawat, selepas perakam suara yang dalam keadaan kemek ditemui semalam dan dihantar ke Beijing untuk analisis lanjut.

Pakar berharap usaha mencari kotak hitam itu bakal membuahkan hasil, sekali gus mampu merungkai punca utama nahas yang menyebabkan pesawat dalam penerbangan dari Kunming ke Guangzhou itu tiba-tiba menjunam laju dari ketinggian puluhan ribu kaki dalam masa hanya beberapa minit.

Pengesanan menerusi laman sesawang FlightRadar 24 menunjukkan ketinggian pesawat itu berubah daripada 8,900 meter kepada 2,400 meter, dalam tempoh seminit.

Sementara itu, Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional (NTSB) Amerika Syarikat (AS) memaklumkan bahawa pegawai Boeing kini menunggu kebenaran untuk memasuki kawasan nahas.

"Kita bekerjasama dengan Jabatan Negara AS untuk merungkai isu berkaitan dengan Kerajaan China, sebelum sebarang pergerakan ditentukan," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mac 2022 @ 6:40 PM