PASUKAN penyelamat membawa keluar mayat dari bot yang karam.
PASUKAN penyelamat membawa keluar mayat dari bot yang karam.
Reuters

Shanghai: Lebih 400 orang kebanyakannya warga emas China hilang selepas bot dinaiki karam di Sungai Yangtze dalam nahas perkapalan paling teruk di negara itu dalam tempoh 70 tahun.

Pasukan penyelamat menghadapi masalah disebabkan cuaca buruk dan berjaya menyelamatkan enam mangsa yang terperangkap di dalam kapal yang terbalik dalam air sedalam 15 meter dengan 458 penumpang serta anak kapal.

Mangsa termasuk 406 pelancong berusia antara 50 hingga 80 tahun yang menyertai rombongan selain 47 anak kapal dan lima pemandu pelancong.

Keluarga mangsa juga bertengkar dengan pihak berkuasa Shanghai - tempat tiket bagi perjalanan itu dibeli - kerana berang gagal diberikan maklumat.

Agensi berita Xinhua melaporkan, penyelamat mendengar lima mangsa menjerit meminta tolong dari dalam kapal Eastern Star dengan proses menyelamat turut disiarkan televisyen tempatan.

Seramai 15 termasuk seorang wanita berusia 65 tahun diselamatkan dari kapal empat tingkat itu manakala enam mayat juga ditemui.

Nahas itu dikhuatiri lebih ramai korban berbanding kapal Sewol di Korea Selatan April tahun lalu yang mengakibatkan 304 maut, kebanyakannya pelajar menyertai rombongan sekolah.

Akhbar The People's Daily menyiarkan senarai penumpang di laman webnya yang menunjukkan mereka berusia antara tiga hingga lebih 80 tahun.

Pemandu pelancong, Zhang Hui berkata, kejadian berlaku begitu pantas dan dia sempat memanjat keluar daripada tingkap dalam keadaan hujan lebat sambil memeluk jaket keselamatan kerana tidak pandai berenang.

“Saya menelan banyak air akibat keadaan sungai bergelora. Saya akhirnya sampai ke daratan selepas berpaut pada dahan kayu,” katanya.

Sementara itu, Xinhua melaporkan kapten dan ketua jurutera kapal itu yang juga antara mangsa pertama diselamatkan kini ditahan polis untuk soal siasat.

Menurut badan pentadbiran Sungai Yangtze, dua pegawai itu mendakwa kapal karam selepas terperangkap dalam puting beliung.

Siasatan awal mendapati kapal itu mematuhi had muatan dengan jumlah jaket keselamatan mencukupi. Penumpang yang diselamatkan memakai jaket keselamatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2015 @ 11:02 AM