Kuala Lumpur: Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) yakin kenderaan elektrik (EV) dapat memacu pertumbuhan ekonomi negara selain menyerlahkan potensi besar dalam industri berkenaan pada masa depan.

Pengerusi Green Malaysia Technology Corporation (GreenTech Malaysia), Tan Sri Peter Chin berkata, mobiliti elektrik bukan saja mampu bertindak sebagai agen pengurangan pencemaran alam sekitar malah menawarkan pilihan pengangkutan mesra alam berteknologi tinggi yang akan memberi manfaat kepada negara dan juga pengguna.

“Penggunaan skala yang luas akan merangsang sub-industri rantaian termasuk teknologi, inovasi, infrastruktur mengecas, mekanisme kitar semula serta perkhidmatan. Bahkan ini bakal menjana peluang perniagaan baru dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

“Laporan menunjukkan jualan global EV mencapai 175,000 unit pada 2014 dengan peningkatan sebanyak 54 peratus dari tahun sebelumnya,” katanya pada program Charge Up 1.0, di sini.

Menurutnya, angka terbabit membuktikan kenderaan elektrik mendapat permintaan tinggi di kalangan pelanggan, dengan 25 kali lebih pembelian di Eropah dalam tempoh 14 bulan pertama berbanding dengan jualan kenderaan hibrid dalam 14 bulan pertama.

Sementara itu, Pengarah Program Kenderaan Elektrik Renault, Eric Feuntum berkata, negara yang mahu mewujudkan persekitaran yang subur untuk pelancaran kenderaan elektrik perlu melakukan pelbagai insentif dan pengecualian bagi mengimbangi kos kewangan.

“Sesi ini adalah satu langkah ke hadapan yang penting dalam mewujudkan asas kukuh untuk mengembangkan ekonomi EV. Kami turut berhasrat untuk menawarkan kepakaran dalam usaha kolektif ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2015 @ 6:19 AM