AHMAD Hadri  menunjukkan antara jenis kenderaan elektrik ketika majlis pandu uji kenderaan elektrik untuk pengamal media di Carcosa Seri Negara, Kuala Lumpur.
AHMAD Hadri menunjukkan antara jenis kenderaan elektrik ketika majlis pandu uji kenderaan elektrik untuk pengamal media di Carcosa Seri Negara, Kuala Lumpur.
Oleh Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur: Malaysian Green Technology Corporation (GreenTech Malaysia) berhasrat untuk mewujudkan 300 stesen pengecas kenderaan elektrik menerusi dana sebanyak RM300 juta hasil kerjasama kerajaan dan pihak swasta tahun depan bagi menggalakkan pembangunan infrastruktur sokongan kenderaan mesra alam.

Ketika ini, terdapat 40 stesen pengecas kenderaan elektrik di seluruh negara di kawasan bandar yang mana pembangunan infrastruktur itu dijangka dapat mempromosikan penggunaan kenderaan itu di kalangan rakyat Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Ahmad Hadri Haris berkata, dalam kajian dilaksanakan GreenTech Malaysia mendapati penggunaan kenderaan elektrik mampu menjimatkan sehingga 70 peratus kos bahan api dan 65 peratus kos penyelenggaraan berbanding kenderaan petrol.

Beliau berkata, rakyat Malaysia kini boleh menjadikan kenderaan elektrik sebagai salah satu pilihan pengangkutan memandangkan kerajaan kini agresif membangunkan insfrastruktur dalam segmen automatif berkenaan.

“Ini juga menunjukkan Malaysia begitu agresif membangunkan teknologi hijau di negara ini, sekali gus menjadikan kita paling ke hadapan dalam kalangan negara ASEAN.

“GreenTech Malaysia juga mahu mencadangkan kepada kerajaan bagi menggunakan kenderaan elektrik sebagai pengangkutan rasmi pemimpin pada Sidang Kemuncak ASEAN 2015 yang mana Malaysia menjadi tuan rumah pada tahun depan,” katanya kepada Bisnes Metro, di sini.

Usaha memperkasakan teknologi kenderaan elektrik di negara ini juga sejajar dengan hasrat Malaysia untuk mencapai sasaran mengurangkan intensiti pelepasan karbon daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 40 peratus pada 2020.

Hadri berkata, ketika ini hanya beberapa syarikat asing yang memperkenalkan model kenderaan elektrik mereka di Malaysia dan belum ada sebarang cadangan daripada pemain industri untuk melakukan pemasangan tempatan (CKD) kenderaan itu.

“Sekiranya terdapat permintaan tinggi kenderaan elektrik di negara ini, tidak mustahil pada masa depan pemain industri automotif asing berminat untuk membuat pelaburan di Malaysia, sekali gus membantu mengurangkan harga jualannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Disember 2014 @ 5:11 AM