Aziz (kanan) mendengar penerangan majalah digital S&W daripada Pengarang S&W, Badrila Jamlus.
Aziz (kanan) mendengar penerangan majalah digital S&W daripada Pengarang S&W, Badrila Jamlus.
Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Persatuan Automotif Malaysia (MAA) penganjur pameran jualan automotif, My Auto Fest 2016 menawarkan hadiah menarik kepada pengunjung termasuk peluang memenangi hadiah Nissan Almera 1.5L bernilai RM82,000 tajaan Edaran Tan Chong Motor melalui peraduan Beli dan Menang.

Presiden MAA Datuk Aishah Ahmad berkata, pelbagai tawaran eksklusif dan diskaun menanti kerana lebih 100 model kereta dipamerkan untuk jualan serta pandu uji untuk model terpilih.

Beliau berkata, pengunjung berpeluang menikmati ganjaran istimewa di gerai UMW Toyota jika membuat tempahan model Vios, Corolla Altis, Camry Hybrid dan rebat tunai daripada RM4,500 hingga RM6,500.

“Selain itu, terdapat juga tawaran mega dan pemilikan istimewa di gerai Peugeot bagi model popular seperti 208, 308THP, 2008 dan kenderaan pelbagai guna (MPV) 5008 di samping hadiah dan diskaun diberikan di gerai lain seperti Honda Malaysia, Proton Edar, Edaran Tan Chong Motor, Daihatsu, Jaguar Land Rover, Volvo Cars serta Subaru.

“Sasaran kami adalah untuk mengambil seberapa banyak tempahan kereta supaya menyumbang kepada peningkatan jumlah keseluruhan industri (TIV) dan pada masa sama, memberi peluang kepada mereka memiliki kereta baru menjelang perayaan Aidilfitri,” katanya pada majlis pelancaran My Auto Fest 2016 di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Aziz Kaprawi yang merasmikan pameran berkenaan yang bermula semalam hingga 22 Mei ini di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Mines.

Harian Metro menerusi majalah digital dunia automotif, Speed&Wheels (S&W) turut berada di My Auto Fest 2016 yang mana orang ramai berpeluang menyertai pelbagai aktiviti seperti permainan simulasi perlumbaan motosikal di litar.

Pada masa sama, pengunjung berpeluang melihat bagaimana kenderaan elektrik (EV) berfungsi di gerai milik Perbadanan Teknologi Hijau Malaysia (GreenTech Malaysia) yang berperanan meningkatkan kesedaran berkaitan EV kepada pengguna.

Bagi masa terhad, GreenTech Malaysia menawarkan keahlian percuma ‘ChargEV Friendly User Trials (FUT)’ bagi pengunjung yang membeli sebarang model EV atau PHEV, manakala orang ramai yang berminat menjadi ahli ‘ChargEV’ boleh mendaftar di pameran itu.

Akhbar Harian Metro dilantik sebagai rakan media sempena My Auto Fest 2016 manakala S&W adalah majalah digital rasmi pameran berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mei 2016 @ 5:04 AM