Oleh Rohana Idris

Tanah Merah: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti, Datuk Mohd Nassuruddin Daud cedera ringan selepas kereta yang dinaikinya dirempuh motosikal di Kampung Belimbing di sini malam tadi.

Dalam kejadian 7.25 malam itu, kereta yang dipandu oleh pemandunya dalam perjalanan ke masjid Kampung Belimbing bagi menghadiri majlis Nisfu Syaaban.

Pemangku Ketua Polis Tanah Merah, Asisten Superintendan Fadzir Ab Manap berkata, kenderaan yang dinaiki Nassuruddin membelok ke kanan di simpang berhampiran masjid sebelum sebuah motosikal dari arah bertentangan merempuh bahagian kiri kereta itu.

"Rempuhan itu menyebabkan cermin pintu kereta di bahagian penumpang hadapan pecah.

"Serpihan itu menyebabkan Nassuruddin cedera di hidung dan mata.

"Pemandu kereta dan penunggang motosikal juga cedera ringan," katanya.

Semua mangsa dibawa ke Hospital Tanah Merah untuk rawatan lanjut dan dirawat sebagai pesakit luar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Jun 2015 @ 5:00 PM