KEADAAN di kaunter daftar masuk KLIA.
KEADAAN di kaunter daftar masuk KLIA.
STAF MAS cuba menenangkan rakan sekerja.
STAF MAS cuba menenangkan rakan sekerja.
BEBERAPA kaunter MAS ditutup.
BEBERAPA kaunter MAS ditutup.
Oleh Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur: “Kita menerima beberapa aduan bahawa terdapat kakitangan yang berkahwin turut diberhentikan kerja. Ada pasangan suami isteri ditamatkan kontrak mereka, adakah pihak pengurusan tidak mempertimbangkan bagaimana nasib keluarga mereka selepas hilang mata pencarian,” kata Presiden Kesatuan Kebangsaan Anak-anak Kapal Kabin Malaysia (NUFAM) Ismail Nasarudin.

Beliau menyifatkan tindakan pengurusan baru Penerbangan Malaysia (MAS) yang menamatkan kontrak 6,000 pekerjanya adalah tidak telus selain mengabaikan emosi pekerja.

Katanya, kebanyakan pekerja yang menerima surat penamatan kontrak itu adalah kakitangan yang sudah lama bekerja dan setia dengan syarikat penerbangan itu.

“Seharusnya, mereka perlu mengambil kira semua perkara. Jika ingin menamatkan kontrak pasangan ini, biarlah suami atau isteri mereka terus bekerja supaya bebanan mereka dapat dikurangkan,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang akhbar, di sini, semalam.

Kelmarin, seramai 6,000 kakitangan MAS menerima surat penamatan kontrak itu sebagai sebahagian daripada langkah penstrukturan semula syarikat penerbangan nasional itu.

Media melaporkan MAS akan membayar pampasan kepada semua kakitangannya yang ditamatkan kontrak selepas menerima surat notis pemberhentian berdasarkan tahun perkhidmatan dengan pekali yang dikira mengikut kumpulan gred masing-masing.

Bagaimanapun, dua pertiga kakitangan akan ditawarkan bekerja dengan syarikat baru Malaysia Airline Bhd (MAB) dan mereka diberikan masa sehingga 12 Jun ini untuk membuat keputusan menyertai MAB dengan beberapa syarat serta terma baru.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2015 @ 8:58 AM