Oleh Basyar Mustapha

Untuk musim luruh dan dingin tahun ini, Pengarah Kreatif Alfred Dunhill, John Ray, mengambil inspirasi daripada pengasas jenama itu sendiri, tidak lain tidak bukan Alfred Dunhill.

Alfred Dunhill, seorang usahawan dan pencipta yang hidup dengan semangat meneroka dan membina sesuatu yang baru dalam dunia perniagaannya.

Dia mencipta satu perkataan baru iaitu Motorities untuk mengambarkan ciptaan yang unik dan pakaian diilhamkannya. Perkataan yang membawa erti praktikal dan keselesaan inilah yang memberi inspirasi kepada koleksi musim sejuk ini.

Daya inovatif dan kreativiti begitu jelas menerusi koleksi ini, selari dengan erti sebenar Motorities. Ia boleh dilihat dalam penghasilan baju kasual dengan teknik kelim yang diperhebatkan dengan lapisan getah yang bukan saja membuatkan pakaian tahan lebih lama dan tahan cuaca sejuk, malah menunjukkan pemikiran inovatif AlfredDunhill.

Kot double breasted dan baju sejuk kait bulu kashmir corak belang diilhamkan daripada zaman lumba kereta tahun 1900-an yang dipelopori Alfred Dunhill.

Pengunaan warna bendera di litar lumba seperti hijau dan merah malah motif kekotak hitam putih seakan-akan menyerlahkan inspirasi itu.

Pelumba kereta British seperti Mike Hawthorn yang berlumba untuk Jaguar, gemar menggabungkan pakaian sukannya dengan elemen formal seperti memakai tali leher kupu-kupu di bawah pakaian lumbanya.

Alfred Dunhill juga antara individu awal yang menyokong inovasi awal dalam dunia penerbangan dan perkara ini dapat dilihat pada penciptaan jaket gaya juruterbang klasik dan penggunaan sutera Inggeris untuk baju sejuk parka.

Kualiti lelaki sejati Inggeris yang terdapat dalam diri dan gaya peribadi Alfred Dunhill juga ingin diserlahkan Ray. Ini diketengahkan menerusi ukuran yang menarik, kot yang lebih panjang, seluar pinggang tinggi dan penggunaan fabrik mewah yang juga memberi keselesaan dalam cuaca sejuk.

Himpunan kasual bermain dengan jahitan kemas dan jelas pada ciptaan jaket yang selesa juga rompi, sekali gus mewujudkan gaya British sebenar.

Untuk himpunan formal, seorang lelaki dengan ciri sejati Alfred Dunhill tidak akan memakai warna hitam sepanjang masa, tetapi tampil tampan dengan sut makan malam warna biru gelap.

Bagi sesuatu yang lebih berani dan ceria, jaket dengan warna hijau batu jed dan beberapa warna lain untuk kemeja sangat bersesuaian untuk acara formal mahupun makan malam.

Gaya potongan kali ini juga lebih menyerlah apabila paten dan tekstur seperti 'tattersall sheck' yang biasanya digunakan untuk pembuatan kemeja diserlahkan pada sut dan baju sejuk.

Koleksi ini berjaya menyampaikan elemen kontemporari dan elegan menerusi gabungan klasik dan moden.

Ia tambah sofistikated dengan penggunaan warna berani, namun masih nampak maskulin seperti merah jambu pudar, kelabu asap, coklat pudar dan merah hati.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Oktober 2014 @ 5:02 AM