Redzuan Muharam


Sejak kebelakangan ini, hampir setiap hari ibu kota dan kawasan sekitar dilanda hujan namun ia bukan halangan Gen Y tampil menarik.

Sebaliknya, inilah masanya untuk anda bergaya tanpa perlu membeli pakaian baru di butik.

Cuma perlu selongkar almari dan pilih pakaian, seluar yang masih elok dan padankan ia dengan koleksi kasut anda.

Tidak susah jika bijak menyuai padan dan berikut antara stail yang boleh anda cuba:

Material baju ini yang tebal menyebabkan ia tidak sesuai dipakai ketika cuaca panas dan kerana itu kebanyakan individu lebih gemar menyarungnya pada waktu malam.

Namun, baju sejuk atau ‘sweater’ adalah pilihan yang tepat ketika hujan kerana selain mampu menahan kesejukan, ia juga sesuai untuk gaya kasual .

Hanya sarung sweater , padankan ia dengan seluar dan kasut sniker untuk kelihatan lebih ‘cool’.

Parka

Peminat K-Pop pasti tahu apa itu parka memandangkan ia sering digayakan pelakon drama berkenaan.

Malah, jaket labuh itu juga semakin menjadi trend dalam kalangan penggemar fesyen di negara Barat ketika musim sejuk.

Untuk kelihatan stailista, gayakan baju-T bersama denim ‘skinny’ dan padankan ia dengan but atau kasut sniker. Pasti ramai yang memerhati!

Blazer

Kemeja berkolar bersama seluar slack dan kasut kulit adalah pakaian formal yang selalunya dipakai si jejaka ketika ke tempat kerja.

Pakaian itu menjadi pilihan mungkin kerana faktor cuaca yang selalunya panas pada siang hari.

Ketika musim hujan ini cuba ubah gaya anda dengan menyarung blazer di luar kemeja lagipun inikan musim hujan.

Gaya itu bukan saja menyerlahkan ketampanan malah teman sepejabat pasti memuji penampilan anda. Percayalah!

Jaket kulit atau denim

Siapa kata jaket kulit hanya sesuai untuk penunggang motosikal?Anda juga boleh menggayakannya lebih-lebih lagi ketika musim hujan.

Materialnya yang tebal boleh menghangatkan badan dan penampilan anda juga akan kelihatan ranggi.

Jika bukan kulit, jaket denim adalah alternatif lain yang boleh digayakan terutama ke kuliah ataupun acara kasual.

But dan kasut kalis air

Anda pasti risau jika kasut yang dipakai basah ketika hari hujan, bukan? Jadi, siap sedia dengan kasut yang diperbuat daripada fabrik kalis air.

Untuk lebih stail, sarung but dan pakai bersama seluar denim ketika keluar ke pusat beli-belah ataupun bersiar dengan teman.

Pasti ada mata yang memerhati!

Skaf

Di luar negara , skaf adalah aksesori yang biasa digunakan untuk menghangatkan leher ketika musim sejuk.

Namun, jarang sekali kita lihat aksesori digayakan, mungkin kerana faktor cuaca, tetapi ia sesuai dipakai ketika musim hujan bagi menyerlahkan lagi penampilan Anda.

Kini, pelbagai jenis dan corak skaf dijual di pasaran dan anda boleh memilih warna krim, coklat atau hitam untuk kelihatan minimalis.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 January 2017 @ 1:02 AM