POLIS mencari sisa mayat mangsa di tasik itu. - Daily Mail
POLIS mencari sisa mayat mangsa di tasik itu. - Daily Mail
Daily Mail

Vienna: Seorang lelaki kanibal yang dituduh membunuh dan mengerat mayat pelacur sebelum membuangnya ke dalam tasik, mengaku menyimpan usus mangsa di dalam peti sejuk untuk dijamah kemudian.

Alfred U, 63, membuat pengakuan itu kepada polis selepas ditahan kerana disyaki membunuh pelacur Slovakia di rumahnya di Vienna, Austria, sebelum anggota badan mangsa disimpan di dalam peti sejuk suspek.

Ketika disoal polis, Alfred mengakui dirinya kanibal dan ingin memakan daging wanita itu, lapor media tempatan. Dia dilaporkan mengerat mayat mangsa dengan pisau serta gergaji di dalam tab mandi rumahnya sebelum menghancurkan usus wanita itu supaya lebih kecil dan dapat dimuatkan di dalam peti sejuknya.

“Saya memang berniat menjamahnya nanti,” katanya.

Dia juga memandu beberapa kali ke Tasik Neusied untuk membuang anggota mayat mangsa.

Polis memulakan siasatan selepas seorang pemancing menemui bahagian perut wanita di tasik itu, yang terletak di sempadan antara Austria dan Hungary.

Kepala mangsa ditemui tidak lama kemudian dan penyiasat mengesyaki anggota badan itu sudah tenggelam beberapa bulan sebelumnya.

Bekas banduan yang pernah dipenjarakan selama 32 tahun itu bertemu mangsa di stesen kereta api Vienna kemudian pulang ke rumah untuk mengadakan hubungan seks sebelum wanita itu dibunuh kerana melawan.

Bagaimanapun, dia menafikan dirinya jahat.

“Saya bukan orang jahat. Saya cuma mahukan wanita mencintai saya. Namun, mereka tidak melayan saya dengan baik.

“Saya sebenarnya lebih gembira berada di dalam penjara berbanding di luar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mei 2018 @ 4:29 AM