Sepanjang tempoh seminggu ini yang menyaksikan rasa kurang senang pemain muda Inggeris semakin menyerlah, penjaga gol utama negara itu mempunyai mesej yang melegakan peminat kelabnya juga buat mereka yang bimbang dengan perkembangan sukan di negara itu.

“Saya amat, amat gembira di mana saya berada sekarang dan saya tidak lihat ia akan berubah,” kata Joe Hart (gambar).

“Selagi Manchester City mahukan saya, saya akan sentiasa berada di Manchester City. Saya suka bermain di sini dan mahu meneruskannya.

“Bila saya berada di dalam semangat Man City, saya akan berikan seluruh tubuh dan kehidupan ini kepada kelab.”

Seperti yang ditunjukkan oleh kes membabitkan pemain Liverpool, Raheem Sterling, pemain muda skuad England, kejatuhan standard di sesebuah kelab boleh membuatkan sesetengah pemain berasa tidak selesa.

Hart sedar keadaan di City musim ini tidak seperti yang diharapkan. Menduduki tangga kedua Liga Perdana Inggeris dan tanpa sebarang trofi saguhati dianggap sebagai sesuatu yang mengecewakan ketika ini.

“Saya rasa ia cukup adil,” kata Hart.

“Setiap kali kami berada di posisi untuk menendang, kami tidak melakukannya dengan sempurna. Kami sedar kami boleh melakukan lebih baik daripada itu.”

Hart bagaimanapun tidak menunjukkan sebarang tanda panik. City gagal mempertahankan gelaran mereka dengan baik dan apa yang dipelajari di Liga Juara-Juara sekali lagi cukup menyedarkan mereka.

Dia tetap percaya Stadium Etihad adalah tempatnya. Masa depan rakan sepasukannya seperti James Milner dan Yaya Toure kini dalam perhatian sejak kebelakangan ini.

“Yaya cukup hebat buat pasukan dan bagi saya, itulah sebabnya mengapa kami begitu berjaya kebelakangan ini,” katanya.

“Dia bergerak sendiri. Apa yang dilakukannya musim panas ini di luar kawalan saya. Jika dia mahu terus berada di kelab ini, kami gembira dapat bersamanya. Sebuah pasukan bersama Yaya adalah pasukan yang lebih kuat.

“Secara peribadinya, saya amat rapat dengan James Milner. Saya suka jika dia ada di sini, malah dia juga pemain bola sepak luar biasa.

“Dia amat berbakat dan tidak mendapat penghormatan atau pujian selayaknya. Saya suka bekerja dengannya dan jika ia dapat diteruskan saya akan gembira tetapi itu urusan dan kehidupannya.”

Hart berusia 28 tahun dan berada di City selama sembilan tahun. Ahad lalu, ketika menentang Southampton, dia membuat penampilan ke-300 bersama kelab itu dan menerima anugerah Sarung Tangan Emas Liga Perdana Inggeris sebaik menang 2-0.

Kejayaan mengatasi beberapa halangan yang menyebabkannya digugurkan seketika oleh Manuel Pellegrini musim lalu, Hart berjaya melonjakkan permainannya ke tahap lebih tinggi.

Persembahannya ketika kalah 0-1 di tangan Barcelona cukup membanggakan hinggakan bintang Argentina, Lionel Messi turut kagum. Malah aksi ‘terbang’nya untuk menyelamatkan bola bagi membantu City meraih kemenangan di Swansea dua minggu lalu gagal diatasi mana-mana penjaga gol musim ini.

Ditanya sama ada ia aksinya yang terbaik, dia berkata: “Ya, biasanya saya tidak akan beritahu tetapi saya berjaya melakukannya. Saya terfikir ‘Wow’.

“Saya sedar, saya tidak terlalu rapat dengan tiang gol untuk menangkap bola, jadi saya perlu melayangkan tubuh. Ia tepat pada masanya.”

Berbanding dua tahun lalu, susuk tubuh Hart jauh lebih tegap dan biarpun kerap mengamalkan latihan di gimnasium, dia masih mengekalkan berat badan seperti ketika kali pertama tiba di City dari Shrewsbury Town.

Secara mentalnya, Hart berpendapat dia semakin kuat dan ia hasil kerjasama dengan pakar psikologi sukan Jamie Edwards.

Hart agak curiga apabila ditanya mengenai perkara itu, bimbang dia dianggap sebagai seorang atlet yang memerlukan sokongan tetapi itu bukan masalahnya.

“Ada kalanya, sukar untuk seorang lelaki untuk berkata-kata. Kerjasama ini membuka mata saya dari aspek bercakap dengan orang lain dan sedar apa yang saya lakukan dan apa yang saya mahukan daripada perlawanan.

“Saya diperkenalkan kepadanya beberapa tahu lalu dan saya terfikir, ‘Mengapa tidak? Ia tidak akan mendatangkan kesan buruk.’

“Kami membina hubungan yang baik dan sumbangan saya begitu kecil. Saya menjawab semua persoalan sendiri dan lebih jelas dengan apa yang saya lakukan.

“Saya hanya mahu memperbaiki diri sebagai pemain bola sepak, manusia dan atlet.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mei 2015 @ 10:05 AM