AFP

LONDON: David Seaman mahu pengurus England, Gareth Southgate mengekalkan Joe Hart (gambar) sebagai penjaga gol utama The Three Lions untuk kempen Piala Dunia 2018 di Russia.

Hart bakal menyamai pencapaian 75 penampilan Seaman, bekas penjaga gol England, sekiranya diturunkan sama ada untuk pertembungan persahabatan dengan Jerman atau Brazil, bulan depan.

Namun, beberapa kesilapan berprofil tinggi sejak menyertai West Ham United menyaksikan kedudukan Hart sebagai pilihan utama semakin kurang pasti.

Walaupun nama-nama lain antaranya Fraser Forster (Southampton), Jack Butland (Stoke City) dan Jordan Pickford (Everton) mencabar tempatnya di pintu gawang England, semuanya tampak bukan pilihan lebih baik berbanding Hart.

Seaman yang ditugaskan mengawal gawang ketika kali terakhir England mara ke pentas separuh akhir Euro 1996, percaya Hart masih kekal sebagai yang terbaik.

“Saya kekal dengan Joe. Untuk saya dia masih nombor satu di England,” kata Seaman pada majlis anugerah bola sepak FIFA di London, semalam.

“Prestasinya di peringkat tertinggi begitu baik. Kini beberapa penjaga gol semakin menghampirinya. Sudah tentu ia akan melonjakkan lagi prestasinya.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Oktober 2017 @ 9:23 AM