Oleh Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: “Kemarau pingat emas sejak edisi 2005 mampu berakhir di Sukan SEA Singapura.”

Itu nada keyakinan pelumba lebuh raya negara Mohd Fauzan Ahmad Lutfi apabila skuad negara membariskan nama besar pada temasya dwitahunan itu.

Selain Fauzan yang berpengalaman luas di pentas Sukan SEA, Malaysia turun menyenaraikan lima pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) diketuai pakar pecut Anuar Manan dan Mohd Harrif Saleh.

“Saya dapat rasakan kami mampu menamatkan kemarau pingat emas kali ini. Kita membariskan pelumba pecut yang mantap seperti Anuar dan Harrif, antara yang terbaik di Asia.

“Saya tidak nampak kita berdepan halangan sukar kerana laluan juga landai, tidak seperti sebelum ini yang berbukit hingga menyukarkan pelumba pecut untuk menonjol,” katanya yang akan tampil buat kali kelima di Sukan SEA.

Tiga lagi pelumba yang memperkuat cabaran skuad lelaki negara adalah Mohd Zamri Saleh, Mohd Adiq Husainie Othman dan Mohd Saiful Anuar Aziz untuk bersaing dalam tiga acara dipertandingkan, ujian masa individu, lepas beramai-ramai lebuh raya dan kriterium.

“Saya lihat peluang paling cerah muncul juara adalah menerusi kriterium. Kita mempunyai kelebihan dalam acara ini menerusi Anuar dan Harrif yang boleh melakukan kejutan,” katanya.

Walaupun tidak menjalani latihan bersama lima rakan sepasukan lain, Fauzan berkata, ia tidak akan memberikan masalah besar kerana pernah bergandingan sebelum ini.

“Cuma kami tidak boleh memandang rendah kemampuan negara lain terutamanya Thailand, Vietnam dan Filipina. Mereka mampu meranapkan impian kita,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mei 2015 @ 8:37 AM