ANUAR Manan
ANUAR Manan
Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: Raja Pecut Le Tour de Langkawi (LTdL) 2010 Anuar Manan perlu bersedia untuk menggalas cabaran mempertahankan dua emas Sukan SEA sekiranya Mohd Harrif Salleh tidak mencapai tahap terbaik menjelang temasya dwitahunan itu nanti.

Menurut pengurus skuad negara Omar Saad, Anuar menjadi taruhan terbaik skuad lebuh raya selepas Harrif mengalami keretakan tulang pada bahagian pinggang susulan terjatuh di Tour of Korea baru-baru ini.

“Saya sendiri terkejut dengan perkembangan terbaru ini dan ada menghubungi Harrif bertanyakan keadaannya. Dia sememangnya menjadi taruhan utama kita mempertahankan emas acara lepas beramai-ramai dan kriterium.

“Namun pada masa sama, saya berharap Anuar akan bersedia untuk memainkan peranan sekiranya Harrif tidak mencapai tahap 100 peratus apabila tiba temasya pada Ogos nanti.

“Dia perlu berusaha lebih keras terutamanya dari aspek fizikal bagi menggalas tanggungjawab itu,” katanya.

Harrif muncul juara acara lepas beramai-ramai dan kriterium pada Sukan SEA 2015 di Singapura manakala Anuar meraih gangsa dalam acara lepas beramai-ramai.

“Anuar mempunyai keberanian dan pandai mencuri peluang sekiranya perlumbaan berakhir dalam kelompok besar. Itu adalah kepakarannya.

“Namun sekiranya berlaku pemecahan ketika perlumbaan dan berakhir dalam kelompok kecil, kita boleh mengharapkan kudrat Mohd Zamri Salleh untuk menyumbangkan sesuatu kepada negara,” katanya.

Tiga lagi pelumba yang tersenarai untuk beraksi pada dua acara berkenaan adalah Adiq Husainie Othman, Shahrul Mat Amin dan Nur Amirull Fakhruddin Mazuki.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Julai 2017 @ 9:08 AM