Madrid: Penjaring terbanyak Real Madrid Cristiano Ronaldo memberi sokongan penuh kepada jurulatih Carlo Ancelotti sekali gus memberi mesej jelas kepada Presiden Kelab Florentino Perez bahawa dia tidak mahu pengendali dari Itali itu dipecat.

Perez seperti dijangka menjadikan Ancelotti kambing hitam selepas Real menamatkan musim ini tanpa sebarang kejuaraan tetapi Ronaldo mempunyai pandangan berbeza.

Ronaldo meledak hatrik ketika Real turun pada perlawanan terakhir liga dengan membelasah Getafe 7-3 di Bernabeu sekali gus menyaksikannya mengumpul 48 gol.

Ia adalah persembahan terbaiknya dalam tempoh semusim bersama Real sejak meninggalkan Manchester United pada 2009 dan hampir menyamai rekod 50 gol yang diraih Lionel Messi pada musim 2011/2012.

Selepas tamat perlawanan, Ronaldo yang juga kapten Portugal memuat naik gambar bersama Ancelotti menerusi akaun Twitter miliknya.

“Seorang jurulatih dan individu yang bagus. Harap beliau meneruskan tugasnya musim depan,” tulis Ronaldo.

Ancelotti yang membantu Real memenangi kejuaraan Eropah buat kali ke-10 serta Piala Raja-Raja pada musim pertamanya, sudah menyatakan dengan jelas mahu meneruskan tugas.

Kontraknya berakhir hujung musim dan beliau dijangka akan menemui pengurusan kelab minggu depan untuk membincangkan mengenai masa depannya. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mei 2015 @ 8:04 AM