PERTUMBUHAN ekonomi akan terus dimantapkan.
PERTUMBUHAN ekonomi akan terus dimantapkan.
Oleh Hafiz Ithnin dan Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Kerajaan akan terus mengukuhkan daya tahan ekonomi bagi menangani cabaran masa depan dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11).

Ekonomi dijangka berkembang pada kadar lima hingga enam peratus setahun berdasarkan permintaan dalam negeri yang mampan dan peningkatan sumbangan sektor luar.

Menurut laporan RMK11, pengukuhan struktur untuk memantapkan asas pertumbuhan ekonomi termasuk peningkatan inovasi dan produktiviti, akan terus mendorong pertumbuhan. Ia juga akan meningkatkan pendapatan per kapita nasional dan pendapatan isi rumah serta kesejahteraan rakyat.

Katanya, dasar monetari dan fiskal akan dilaksanakan untuk memastikan kestabilan harga, kadar pertukaran ringgit dan kadar faedah. Pelaburan sektor swasta akan digalakkan untuk memodenkan sektor ekonomi utama. Sektor perkhidmatan secara khususnya akan berpaksikan kepada perkhidmatan bernilai tinggi dan berintensif pengetahuan.

“Kerajaan Persekutuan akan mencapai kedudukan fiskal berimbang pada tahun 2020 melalui pengukuhan asas cukai dan menambah baik proses membuat keputusan mengenai peruntukan pembangunan bagi program atau projek yang dicadangkan.

“Eksport akan dipertingkatkan dengan menambah baik daya saing produk, menggalakkan eksport perkhidmatan dan mempelbagaikan pasaran, seterusnya mengekalkan lebihan dalam akaun luar.

“Produktiviti yang akan ditingkatkan melalui pengukuhan kecekapan modal dan sumbangan Produktiviti Pelbagai Faktor (MFP) akan menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10), 2011-2015, ekonomi negara mengekalkan pertumbuhan yang stabil walaupun ekonomi pada peringkat dunia mencatat prestasi yang bercampur-campur.

Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dianggarkan berkembang pada kadar 5.3 peratus setahun dengan Pendapatan Negara Kasar (PNK) per kapita pada harga semasa dijangka meningkat sebanyak 5.8 peratus daripada RM27,819 pada tahun 2010 kepada RM36,937 pada tahun 2015.

Dalam tempoh 2009-2014, pendapatan bulanan purata isi rumah meningkat lebih pantas pada kadar 8.8 peratus setahun. Hasil pertumbuhan ekonomi yang mampan, rakyat mendapat faedah daripada agihan pendapatan yang lebih baik dan pengangguran kekal rendah pada kadar 2.9 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mei 2015 @ 6:29 AM