Gambar hiasan
Gambar hiasan
Sri Ayu Kartika Amri dan Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Kedudukan ekonomi dan kewangan negara dijangka bertambah baik dan kembali kukuh pada 2023.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang membentangkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat hari ini berkata, kerajaan lebih menumpukan kepada projek sambungan selain projek baharu membabitkan peruntukan pembangunan sebanyak RM400 bilion.

Katanya, RMK-12 digubal ketika dunia sedang mengharungi cabaran getir pandemik Covid-19 begitu juga Keluarga Malaysia, sejak hampir dua tahun.

"Malaysia juga tidak terkecuali menerima kesan pandemik ini. Mengimbas pencapaian dalam tempoh RMK-11 iaitu 2016 hingga 2020, keluaran dalam negeri kasar (KDNK) berkembang pada kadar purata 2.7 peratus setahun, kurang daripada sasaran asal.

"Ini disebabkan penguncupan ketara sebanyak 5.6 peratus pada tahun 2020, meskipun negara mencapai pertumbuhan lebih tinggi sebanyak 4.9 peratus setahun dalam tempoh empat tahun pertama RMK-11.

"Pendapatan negara kasar (PNK) per kapita mencapai RM42,500 atau USD10,100 pada 2020. Nilai ini adalah 20 peratus lebih rendah daripada ambang pendapatan untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi," katanya ketika pembentangan RMK-12 hari ini.

Mengulas lanjut, kerajaan membelanjakan sebanyak RM248.5 bilion untuk tujuan pembangunan pada RMK-11 merangkumi perbelanjaan untuk sektor ekonomi sebanyak 58 peratus, sosial 26 peratus, keselamatan dan pertahanan 11 peratus dan pentadbiran am 5 peratus.

Bagi sektor ekonomi, katanya, perbelanjaan terbesar adalah untuk penyediaan infrastruktur dan utiliti asas.

Daripada perbelanjaan itu, tambah beliau sebanyak 46 peratus diagihkan kepada enam negeri yang memerlukan lebih tumpuan, iaitu Kedah, Kelantan, Perlis, Sabah, Sarawak dan Terengganu.

"Pandemik Covid-19 juga menjejaskan kedudukan kewangan kerajaan. Tahun lalu, defisit fiskal melebar kepada 6.2 peratus daripada KDNK. Jumlah hutang statutori kerajaan Persekutuan berada pada tahap 57.9 peratus kepada KDNK.

"Saya sedar Keluarga Malaysia meletakkan harapan yang tinggi kepada kerajaan untuk menangani krisis kesihatan dan ekonomi. Kerajaan banyak menerima cadangan daripada orang ramai, Ahli Parlimen dan kerajaan negeri.

"Namun, keperluan yang amat besar untuk melindungi nyawa dan kehidupan pada 2020 dan 2021, ruang bagi melaksanakan projek pembangunan adalah amat terhad. Keadaan ini dijangka berterusan sehingga tahun hadapan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 September 2021 @ 1:09 PM