Kuala Lumpur
Kuala Lumpur
BERNAMA

Kuala Lumpur: Ekonomi negara dijangka berkembang antara 5.0 dan 5.5 peratus setahun untuk baki Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), didorong oleh permintaan dalam negeri, terutamanya perbelanjaan sektor swasta.

Menurut laporan Kajian Separuh Penggal RMK12 (KSP RMK12) 2021-2025 yang dikeluarkan Kementerian Ekonomi pada Isnin, pendapatan negara kasar (PNK) per kapita pada harga semasa diunjur meningkat sebanyak 4.6 peratus setahun kepada RM61,000 (AS$14,250) pada 2025.

Potensi pengeluaran Malaysia pula dijangka berkembang antara 5.5 dan 6 peratus setahun bagi tempoh 2023-2025 di bawah RMK12, didorong oleh produktiviti lebih tinggi.

Dalam tempoh kajian semula (2021-2022) katanya, potensi pengeluaran berkembang sebanyak 3.8 peratus setahun, manakala Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang sebanyak 5.9 peratus setahun disumbang oleh pertumbuhan produktiviti buruh yang lebih baik sebanyak 3.7 peratus setahun.

Bagi tahun 2023, ekonomi negara diunjur berkembang pada kadar 4.0-5.0 peratus.

"Inflasi meningkat kepada 3.3 peratus pada 2022. PNK per kapita pada harga semasa adalah sebanyak RM52,968 (AS$12,035) pada 2022, lebih tinggi berbanding RM42,838 (AS$10,191) pada 2020.

"Dalam tempoh kajian semula, tujuh daripada 12 sasaran ekonomi makro terpilih dicapai, empat sasaran berada pada landasan yang ditetapkan, manakala satu sasaran masih ketinggalan.

"Di samping itu, empat daripada lapan sasaran matlamat pelbagai dimensi dicapai," katanya.

Sementara itu, penggunaan swasta dijangka meningkat pada kadar purata tahunan sebanyak 6.1 peratus, disokong oleh keadaan pasaran buruh yang bertambah baik dengan ekonomi kekal pada tahap guna tenaga penuh dan kadar inflasi dijangka kekal terkawal.

Selain itu katanya, sektor pembinaan dijangka kembali pulih disokong oleh pertumbuhan yang lebih kukuh dalam subsektor kejuruteraan awam dan bangunan kediaman.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 September 2023 @ 2:25 PM