Oleh Rizar Mohd Noor

Singapura: Gandingan adik-beradik LionsXII, Khairul Amri dan Khairul Nizam Kamal bakal menjadi duri dalam daging buat Kelantan apabila kedua-dua pasukan bertemu pada pentas final Piala FA di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini.

Bagi si abang, Khairul Amri yang sudah meledak lima gol sepanjang aksi Piala FA yakin kelibat adiknya, Khairul Nizam akan membantu membentuk gandingan mantap bagi memburu kejuaraan buat pertama kali Piala FA.

“Kami begitu akrab dan sentiasa berkomunikasi untuk menukar pandangan bagi memantapkan lagi gandingan di padang. Malah dia kerap membantu saya apabila kami berada dalam situasi menyerang.

“Selepas perlawanan sama ada saingan Liga Super atau Piala FA, kami akan berbincang untuk memantapkan lagi mutu permainan kerana kita sedar LionsXII tidak dibarisi pemain import sebaliknya mempertaruhkan pemain tempatan.

“Saya menyifatkan kejayaan melangkah ke final kali pertama ini amat bersejarah dan tidak mahu melepaskan peluang membawa pulang piala walaupun kami berdepan kesukaran bertemu Kelantan yang memiliki pengalaman beraksi di perlawanan akhir,” katanya di pusat latihan ITE Central di Ang Mo Kio, semalam.

Khairul Amri menganggap tuah memihak LionsXII kerana pasukan itu tidak dilabel selaku pasukan pilihan dan mereka beraksi tanpa tekanan dengan setiap pemain tampak begitu bersemangat menjejak kaki ke Stadium Nasional, Bukit Jalil buat pertama kali.

Katanya, kerjasama menjadi kunci kejayaan LionsXII yang mengetepikan perasaan resah apabila berdepan skuad The Red Warriors.

“Sudah tiba masanya kami membuktikan sesuatu untuk melakar sejarah tersendiri dan saya mengimpikan kejuaraan pertama selepas hampir ke final Piala Malaysia pada musim 2012.

“Saya inginkan ‘aura’ final itu dan ternyata segala usaha membuahkan hasil dan hanya menanti 90 minit perlawanan untuk membuktikan betapa kejuaraan Piala FA menjadi idaman bukan saja kepada saya malah rakan sepasukan,” kata Khairul Amri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mei 2015 @ 2:28 PM