DOLLAH (kiri) ketika sesi latihan pasukan kebangsaan di Wisma FAM, semalam.
DOLLAH (kiri) ketika sesi latihan pasukan kebangsaan di Wisma FAM, semalam.
Oleh Azlan Muhammad Zain


Kelana Jaya: Tiada istilah menutup ruang untuk pemain tempatan diturunkan bagi aksi persahabatan menentang Tottenham Hotspur Rabu depan walaupun dengan kehadiran lima pemain import.

Ketua jurulatih negara Dollah Salleh berkata, ia tidak perlu menjadi isu walaupun beliau menurunkan kelima-lima pemain import berkenaan kerana skuad negara kehilangan ramai pemain.

“Saya hilang 15 atau 16 pemain, kami panggil pemain import untuk bermain. Saya kalau boleh mahu memberikan peluang kepada semua yang ada untuk bermain namun hanya 20 pemain yang boleh didaftarkan untuk perlawanan itu,” katanya.

Dollah tidak dapat menurunkan pemain Johor Darul Ta’zim dan Pahang yang terbabit dengan pusingan kedua Piala AFC.

Dollah memanggil 19 pemain tempatan untuk kem latihan kali ini termasuk lima pemain import diketuai penyerang Terengganu Paulo Rangel.

Mengulas mengenai Rangel, Dollah yakin pemain berkenaan bersedia untuk aksi persahabatan berkenaan walaupun terbabit dengan insiden yang berlaku di Terengganu pada Sabtu lalu.

“Saya tidak fikir mentalnya terjejas. Dia pemain profesional, apa yang berlaku lumrah bagi pemain bola sepak. Apabila emosi tertekan, ia berlaku secara spontan,” jelasnya.

Rangel dilayangkan kad merah pada aksi separuh akhir kedua Piala FA di Kuala Terengganu susulan tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil yang membatalkan gol masa kecederaan Terengganu sehingga Penyu gagal ke final.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mei 2015 @ 10:02 AM