PESERTA bergambar ramai bersama jaket keselamatan masing-masing sebagai pernyataan simbolik.
PESERTA bergambar ramai bersama jaket keselamatan masing-masing sebagai pernyataan simbolik.
Teks dan foto Noriah Idris


LUKISAN yang diilhamkan daripada jaket keselamatan dipilih memenangi hadiah utama Pertandingan Bakat Muda Sezaman (BMS) 2023 anjuran Balai Seni Negara, baru-baru ini

Karya menarik itu dihasilkan anak jati Teluk Intan, Perak, Mohamad Zulkefli Mohd Jais, 28, dengan membawa pulang hadiah utama yang bernilai RM30,000.

Kejayaan itu turut membolehkan Mohamad Zulkefli mewakili Malaysia ke pameran seni di Gwangju Biennale, Korea Selatan.

Menurut graduan jurusan Seni Reka dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam itu lagi, dia mengambil inspirasi seni jaket keselamatan yang ada di dalam Menara Condong di Perak itu bagi mengangkat dan mempromosikan lagi lokasi pelancongan berkenaan.

Katanya, suatu ketika dahulu menara berkenaan menjadi pusat perlindungan banjir masyarakat setempat.

"Bahkan, ketika serangan tentera Jepun pada 1940-an di daerah terbabit, seramai 86 penduduk dibunuh dengan kejam.

"Rentetan peristiwa itulah saya menzahirkan karya ini dan merakam semula sejarah 'luka' dan maruah Teluk Intan itu sendiri.

"Apa-apa pun, saya teruja terpilih ke pameran seni antarabangsa kali ke-15 yang bakal diadakan di Korea Selatan tidak lama lagi," katanya yang ditemui pada majlis penyampaian hadiah pertandingan berkenaan, baru-baru ini.

Pada majlis itu, Mohamad Zulkefli dan barisan pemenang lain menerima hadiah daripada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Hadir sama, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Pertandingan BMS 2023 menyaksikan 68 penyertaan diterima namun, hanya 15 peserta dipilih ke peringkat akhir.

Ia dianjurkan oleh Balai Seni Negara (BSN) secara dwitahunan sejak 1974.

Namun mulai 2021, format pertandingan BMS diubah daripada menghantar penyertaan ke BSN kepada peserta berkarya di lokasi.

Apa yang menariknya BMS itu juga diadakan sempena Tahun Melawat Perak 2024.

Selain mengutarakan kreativiti, pertandingan itu juga berjaya meningkatkan pemahaman positif berkenaan seni visual di lokasi dalam kalangan masyarakat.

Sementara itu seorang lagi penggiat seni, Khairun Nisah Musa, 53, berkata, dia pernah menyertai pertandingan BMS ketika menuntut di UiTM (dulu dikenali Institut Teknologi Mara) pada 1994.

Lukisan abstrak catannya berjudul 'hedoisme trap' terpilih sebagai juara bersama 10 pengkarya lain.

Bekas pensyarah itu turut menyimpan hasrat untuk membuka galeri sendiri satu hari nanti di Teluk Intan.

"Pelbagai usaha dilakukan bersama pelukis berbakat di daerah ini dan berharap pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat korporat dan individu dapat membantu menjayakan usaha murni berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mei 2024 @ 7:00 AM