REAKSI Ronaldo pada saingan Liga Negara-Negara awal pagi tadi. FOTO AP
REAKSI Ronaldo pada saingan Liga Negara-Negara awal pagi tadi. FOTO AP
Agensi

London: Perpindahan Cristiano Ronaldo ke kelab Arab Saudi, Al-Hilal gagal hanya disebabkan sekatan perpindahan pemain dikenakan ke atas kelab itu, dakwa Presiden Al-Hilal, Fahad ben Nafel.

Sportsmail melaporkan, pada hari terakhir perpindahan, pasukan yang berpangkalan di Riyadh itu adalah satu-satunya kelab yang mengemukakan tawaran kepada bintang Manchester United itu.

Ia selepas Ronaldo dilaporkan berhasrat untuk meninggalkan Old Trafford kerana kelab itu gagal beraksi di Liga Juara-Juara.

Fahad, yang menawarkan kontrak selama dua tahun bernilai £2 juta (RM9.8 juta) seminggu dan keseluruhan £210 juta (RM1.03 bilion) serta yuran perpindahan £25 juta (RM123 juta) menegaskan penyerang Portugal itu secara prinsip bersetuju dengan tawaran itu walaupun terdapat laporan ia satu langkah ke belakang dan keinginannya untuk beraksi di Liga Juara-Juara.

Fahad memberitahu saluran YouTube Thamanya: "Ya, kami berunding dengan Ronaldo. Masalahnya bukan disebabkan wang.

"Al-Hilal mampu membawa masuk bintang dunia, tetapi Mahkamah Timbang Tara Sukan menghalang kami daripada mendaftarkan pemain."

Jika segala-galanya menjadi kenyataan, Ronaldo bakal muncul pemain bola sepak dengan bayaran tertinggi di dunia.

Al-Hilal dikenakan larangan perpindahan pada Mei lalu selepas pemain tengah mereka, Mohamed Kanno mengubah fikirannya untuk berpindah ke Al-Nassr pada saat-saat akhir, dengan kontrak sudah ditandatangani dengan kedua-dua kelab.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 September 2022 @ 9:30 PM