Johor Bahru: Kapten Johor Darul Ta’zim (Johor DT) Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak mahu rakan sepasukan memahat nama sebagai juara Piala Malaysia musim ini.

Pertahanan kanan berkenaan sah tidak beraksi di pentas final Sabtu ini apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menolak rayuan untuk menarik balik kad kuning keduanya yang dilayangkan pada separuh akhir kedua Sabtu lalu.

“Saya memang jangkakan keputusan itu dari awal lagi, jika ditarik ia satu keajaiban. Jadi, saya menerima keputusan itu dan kini perlu memberi semangat kepada rakan sepasukan untuk berjaya tanpa saya,” katanya.

Jelas Aidil, perkara sama berlaku pada final Piala FA tahun lalu apabila dia terlepas aksi menentang Kelantan.

“Tapi, sebenarnya saya tidak perlu menasihatkan rakan sepasukan kerana mereka sudah berpengalaman dan tahu apa yang perlu dilakukan untuk muncul juara.

“Orang akan ingat siapa juara, namun tidak yang dapat tempat kedua. Saya harap biarlah Johor DT juara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Oktober 2014 @ 5:06 AM