PEMAIN Johor DT tampil lebih gah musim baru.
PEMAIN Johor DT tampil lebih gah musim baru.
Oleh Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Selepas mengharungi dua aksi persahabatan di Bangkok, Johor Darul Ta’zim (Johor DT) akan menamatkan aksi pramusim berdepan kelab Liga Singapura (Liga S), Geylang International FC di Stadium Larkin, malam ini.

Bagi pertahanan Johor DT Aidil Zafuan Abd Radzak, perlawanan itu bukan sekadar pemanas badan sebaliknya lebih tertumpu mempraktikkan segala taktikal yang ditunjuk ajar ketua jurulatih, Mario Gomez sebelum bertarung pada pusingan kedua kelayakan Liga Juara-Juara Asia menentang Muangthong United FC di Stadium Thunderdome, Nonthaburi pada 2 Februari ini.

Aidil yang sudah tiga musim bersama skuad Harimau Selatan menganggap aksi terakhir pramusim itu diibarat fasa terakhir sebelum skuad itu berdepan tugas getir menentang kelab dari Thailand.

“Kami sudah mengharungi dua perlawanan persahabatan di Bangkok dan saya anggap aksi persahabatan Johor DT berjaya biarpun tidak mencatat kemenangan 100 peratus selepas menang sekali dan tewas.

“Berdepan kelab dari Singapura satu lagi ujian dan saya tidak anggap ia perlawanan persahabatan sebaliknya aksi itu bagi membentuk kesebelasan yang mantap dan sudah pasti jurulatih akan membariskan skuad utama,” katanya.

Bagi Aidil, persiapan musim ini berjalan lancar dan ia menyuntik semangat buat dirinya dan rakan sepasukan mempamerkan aksi konsisten tatkala berstatus juara bertahan Liga Super seharusnya tampil dengan lebih gah selain mengintai peluang untuk layak beraksi di pentas ACL buat pertama kali dalam sejarah.

Ujarnya, walaupun tampak sukar menempatkan Johor DT beraksi di pentas tertinggi kelab Asia namun jika ada kesungguhan tak mustahil ranjau berduri mampu diredah.

Pada aksi kelayakan ACL musim lalu, langkah Johor DT tersekat selepas tewas 0-3 kepada Bangkok Glass pada pusingan pertama dan kini berstatus juara Piala AFC, mereka tidak perlu mengharungi pusingan pertama sebaliknya layak ke pusingan kedua dan jika melepasi pusingan itu, kelab dari China, Shanghai SIPG menjadi rintangan pada pusingan ketiga.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 January 2016 @ 10:03 AM