Oleh Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur: Pembiayaan untuk sebarang pembelian hartanah daripada pihak bank memainkan peranan penting bagi membolehkan seseorang itu memiliki kediaman memandangkan jarang sekali orang ramai membeli rumah secara tunai.

Namun, isu sukar mendapatkan pembiayaan daripada bank kerana tahap margin pembiayaan yang diperlukan bakal pembeli menjadi perbualan dalam kalangan orang ramai serta pemain industri kediaman itu sendiri.

Presiden Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM) Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid berkata, bagi menentukan tahap margin pembiayaan yang diperlukan bakal pembeli bergantung kepada nisbah khidmat hutang (DSR) atau komitmen keseluruhan hutang yang ditetapkan iaitu antara 60 hingga 70 peratus manakala selebihnya ialah jumlah wang yang dibawa balik oleh pemohon.

Beliau berkata, DSR memainkan peranan bagi membolehkan bakal pembeli mampu menguruskan komitmen pembayaran pembiayaan mereka dalam tempoh jangka masa perjanjian yang dibuat bersama pihak bank.

“Kemampuan orang ramai untuk membayar semula pinjaman adalah paling mustahak bagi pihak bank sebelum meluluskan pembiayaan mereka.

DSR adalah kayu ukur bagi memastikan mereka berada di tahap selesa untuk menampung kos kehidupan yang lain setiap bulan.

“Perkara itu yang menyebabkan mengapa bakal pembeli tidak dapat margin pembiayaan yang tinggi daripada pihak bank memandangkan ada antaranya mempunyai komitmen pembiayaan lain yang dilihat akan membebankan pada masa depan,” katanya.

Redza berkata, sekiranya bakal pembeli membuat pembiayaan peribadi bagi menambah margin pembiayaan perumahan mereka adalah sukar untuk dilakukan memandangkan ia akan termasuk di dalam DSR yang akan dikira oleh pihak bank.

Katanya, bank di Malaysia tidak kira dalam sektor patuh syariah atau konvensional sememangnya menawarkan kadar jual beli atau faedah yang kompetitif iaitu sekitar empat hingga lima peratus.

“Namun, kita juga faham bahawa pinjaman bank amat penting bagi orang ramai untuk memiliki kediaman sendiri, tetapi mereka perlu mempunyai pengurusan hutang yang baik bagi mendapatkan margin pembiayaan yang tinggi.

“Selain itu, program kerajaan untuk membantu orang ramai memiliki rumah dari segi kewangan dengan menyediakan skim pembiayaan sehingga 100 peratus, tetapi peruntukan yang diberikan terhad dan orang ramai perlu mempunyai kewangan yang kukuh untuk memiliki rumah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mei 2015 @ 5:08 AM