Oleh Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur: Penasihat kewangan Islam, Hijrah Wealth Management Sdn Bhd (Hijrah Wealth) berpendapat orang ramai seharusnya tidak bergantung sepenuhnya kepada bank untuk membeli kediaman terutama golongan muda.

Ini kerana dengan persediaan kewangan yang mencukupi, mereka boleh meringankan beban komitmen pembayaran semula kepada bank sekiranya mempunyai simpanan atau tabungan yang baik.

Pengasasnya, Rohani Mohd Shahir berkata, tabungan dalam bentuk pelaburan adalah langkah terbaik kepada golongan muda untuk mengurangkan margin pembiayaan bank bagi hartanah kediaman.

Beliau berkata, ketika ini ada pelbagai segmen pelaburan atau tabungan yang boleh menjamin masa depan mereka bukan saja dalam urusan pemilikan aset kediaman, tetapi hal lain seperti kos persaraan.

“Sebagai contoh, jika seseorang itu melabur dalam amanah saham dengan komitmen RM450 sebulan selama lima tahun dan menerima dividen 10 peratus setiap tahun, mereka boleh mendapat keuntungan RM34,848 yang boleh digunakan sebagai deposit membeli rumah.

“Tambahan, laksanakan syarat kelayakan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau setiap bulan mempunyai tabungan 20 peratus daripada gaji diterima. Ia sememangnya boleh membantu mereka daripada terus bergantung kepada bank untuk mendapatkan peratusan tinggi bagi pembiayaan,” katanya kepada Bisnes Metro semalam.

Rohani berkata, sekiranya pasangan berkahwin yang ingin membeli rumah, tambahkan tabungan atau simpanan kedua-dua pihak untuk membayar deposit dan ia adalah alternatif terbaik untuk memudahkan pembelian rumah dari segi persediaan kewangan.

Katanya, golongan muda dengan keadaan aset hartanah yang semakin tinggi pada hari ini perlu mempunyai perancangan dalam kewangan bagi membolehkan mereka tidak terbeban dengan isu hutang.

“Orang muda terutama yang baru bekerja sebaiknya terus merancang kewangan mereka secara strategik bagi membolehkan mereka mengumpul aset tanpa perlu membuat pembiayaan bank yang banyak daripada pihak bank.

“Mereka perlu tahu, bahawa pembiayaan itu adalah hutang dan bebanan untuk mereka untuk menampung kos sara hidup yang semakin meningkat terutama di kawasan bandar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mei 2015 @ 5:06 AM