PINJAMAN perumahan komitmen yang tinggi.
PINJAMAN perumahan komitmen yang tinggi.
Nurul Husna Mahmud


RAMAI mulai berasa gusar apabila mengetahui nama tersenarai dalam Sistem Maklumat Rujukan Semakan Kredit (CCRIS) terutama bagi yang merancang memohon pembiayaan perumahan.

CCRIS adalah pangkalan data setempat diasaskan Bank Negara Malaysia untuk semua institusi kewangan berlesen menyemak tahap kesihatan kewangan individu sebelum meluluskan pembiayaan pinjaman baharu termasuk perumahan.

Maklumat penting dibekalkan dalam CCRIS meliputi hal berkaitan kewangan individu antaranya jenis pinjaman, bilangan pinjaman, jumlah pinjaman, status pinjaman dan tabiat bayaran membolehkan institusi kewangan tadi mengira risiko pemohon atau peminjam.

SETIAP nilai hartanah dibeli perlu dinilai mengikut kemampuan.
SETIAP nilai hartanah dibeli perlu dinilai mengikut kemampuan.

Menurut Jurutera Forensik Kewangan Zaidi Ismail, maklumat berkenaan membantu penilaian setiap bank terhadap kemampuan bakal pemilik rumah khususnya komitmen bulanan tempoh masa yang panjang.

"Bukan isu nama disenaraikan dalam CCRIS perlu menjadi kebimbangan bakal pemilik hartanah sebaliknya mereka perlu tahu komitmen sedia ada tidak menjejaskan peluang untuk miliki hartanah.

"Institusi kewangan (pembiaya) akan lihat rekod pemohon menerusi CCRIS dan membuat penilaian berdasarkan data terutama sejarah tabiat peminjam sama ada seorang yang culas atau sebaliknya.

"Umumnya pembiayaan perumahan membabitkan sejumlah nilai yang besar selain tempoh pinjaman panjang antara 20 hingga 35 tahun mengikut usia pemohon.

PERLU semak komitmen bulanan iaitu kereta, pinjaman peribadi dan kredit sebelum memohon pinjaman perumahan.
PERLU semak komitmen bulanan iaitu kereta, pinjaman peribadi dan kredit sebelum memohon pinjaman perumahan.

"Jadi, pemilik kediaman perlu kemas kini atau semak tahap kewangan dan teliti sejauh mana kemampuan bulanan mereka untuk nilai aset hartanah tertentu," katanya.

Asasnya kata beliau, yang juga penulis buku Forensik Kewangan-Cara Langsai Hutang & Kumpul Harta Dengan Pantas, individu berkenaan boleh merujuk kepada Kalkulator Nisbah Hutang atau 'Debt Services Ratio' (DSR) iaitu kaedah pengiraan berdasarkan nisbah dalam nilai peratusan antara komitmen bulanan dan pendapatan.

"Peminjam atau bakal pemilik perumahan boleh merujuk kepada kaedah pengiraan DSR yang mana memberi peratusan komitmen ditanggung mereka dengan mengambil kira semua jenis komitmen atau hutang yang ada setiap bulan.

"Institusi kewangan melihat komitmen bulanan bagi setiap individu perlulah tidak melebihi 60 peratus daripada jumlah pendapatan bersih atau pendapatan yang boleh digunakan selepas pemotongan gaji untuk caruman, cukai dan sebagainya ('take home pay').

"Paras kewangan sihat atau stabil ialah sebaik pinjaman atau hutang sedia ada dijumlahkan dengan pembiayaan perumahan tidak melebihi 60 peratus jumlah pendapatan bersih," katanya.

Justeru, penting dalam tempoh enam bulan dan setahun, pemilik kediaman perlu mengurus kewangan mereka dengan baik termasuk tiada bayaran tertunggak.

ZAIDI sentiasa membantu pemilik hartanah menggunakan ilmu kewangan untuk miliki aset hartanah.
ZAIDI sentiasa membantu pemilik hartanah menggunakan ilmu kewangan untuk miliki aset hartanah.

"Dalam memiliki aset hartanah, pembeli juga perlu pelajari atau dapatkan nasihat mereka yang berpengalaman dalam bidang hartanah bagi membolehkan mereka menukar komitmen menjadi satu aset menjana pendapatan.

"Saya selalu sarankan mereka ini bersedia dengan simpanan setidak-tidaknya enam bulan pendapatan bersih.Tidak lupa persiapan berasingan bagi penyediaan wang deposit, cukai dan kos penyelenggaraan hartanah bagi membolehkan pemilik berada dalam keadaan selesa," katanya.

Penting juga mengukur kemampuan diri dan jangan melakukan pembelian kerana terikut dengan gaya hidup orang lain.

"Tidak dinafikan ramai menginginkan suasana kediaman yang luas dan selesa, namun itu boleh memberi tekanan dan mengganggu tahap kesihatan kewangan.

"Sebaliknya pilih prospek kediaman yang membantu menjana pendapatan dengan hartanah seperti disewa dengan nilai tinggi membantu membiayai ansuran bank dan mempunyai lebihan tunai kepada pemilik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Jun 2021 @ 6:18 AM