PEMBELI rumah sukar dapat pinjaman dari bank.
PEMBELI rumah sukar dapat pinjaman dari bank.
Oleh Hafiz Ithnin


Kuala Lumpur: Persekitaran harga rumah yang sentiasa meningkat saban tahun dengan pendapatan isi rumah yang dilihat tidak setara dengan kemampuan untuk memilikinya dilihat sebagai satu cabaran dalam industri hartanah di Malaysia.

Perkara ini boleh dilihat apabila banyak laporan dipaparkan di akhbar ini yang sebelum ini melaporkan mengenai kesukaran pembeli berpotensi untuk mendapat kelulusan pembiayaan daripada pihak bank.

Namun, kedua-dua pihak antara pembeli dan bank mempunyai alasan mereka tersendiri mengenai sama ada pihak bank tidak mahu menanggung risiko peningkatan peratusan pembiayaan tidak berbayar (NPL) atau pembeli yang sukar memiliki rumah sendiri kerana isu tidak cukup wang.

Dalam satu taklimat prestasi penjualan hartanah di Malaysia yang diadakan oleh Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) mengakui antara faktor terbesar kesukaran pembeli untuk memiliki kediaman sendiri adalah disebabkan kesukaran mendapat pembiayaan daripada pihak bank.

Presidennya, Datuk Seri FD Iskandar Mohamed Mansor berkata, menerusi satu kaji selidik yang diadakan kepada 125 ahli Rehda di seluruh negara pada separuh pertama 2015 mendapati 35 peratus ahli berdepan dengan kegagalan mendapatkan pembiayaan dan ia meningkat daripada 29 peratus pada tempoh sama tahun lalu.

Beliau berkata, menerusi tinjauan itu mendapati lima faktor utama pembiayaan kediaman tidak diluluskan adalah ketidakmampuan daripada segi pendapatan pembeli, margin pembiayaan yang rendah, sejarah pembayaran pembiayaan terdahulu seperti CTOSS dan CCRIS, permintaan dokumen yang banyak daripada pihak bank dan kuota terhad untuk rumah mampu milik.

“Bagaimanapun, masalah ini tidak hanya terjadi di Malaysia, sebaliknya berlaku di mana-mana pasaran. Namun, berikutan keadaan ekonomi semasa, bank mengambil langkah berhati-hati untuk meluluskan pembiayaan.

“Jika satu ketika dulu, bank mampu menawarkan pembiayaan 100 peratus dengan tempoh sehingga 35 tahun, kini kebanyakan bank hanya menawarkan pembiayaan antara 75 peratus hingga 80 peratus bagi tempoh 25 tahun,” katanya.

Kediaman yang berada pada lingkungan harga RM250,001 hingga RM500,000 dan RM700,001 hingga RM1 juta adalah sebahagian besar daripada jenis kediaman yang sukar mendapat kelulusan pembiayaan.

Bagi kediaman di sekitar Selangor dan Johor, kira-kira 39 peratus kediaman berharga antara RM500,000 hingga RM1 juta gagal dijual manakala bagi kediaman di Perak, Pulau Pinang dan Kedah, kediaman yang gagal dijual berharga antara RM250,001 hingga RM500,000 (23 peratus).

Unit kediaman yang tidak dapat dijual pada separuh pertama tahun ini meningkat kepada 78 peratus berbanding 64 peratus yang dicatat pada separuh kedua tahun lalu.

FD Iskandar berkata, unit kediaman di bawah kuota Bumiputera yang tidak terjual juga menyumbang kepada kegagalan sesuatu projek untuk mencapai jualan yang memuaskan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Oktober 2015 @ 5:04 AM