PEMAIN LionsXII, Safuwan Baharudin (dua dari kiri) diasak pemain Terengganu, Sharin Sapien (kiri) pada separuh akhir pertama Piala FA, kelmarin.
PEMAIN LionsXII, Safuwan Baharudin (dua dari kiri) diasak pemain Terengganu, Sharin Sapien (kiri) pada separuh akhir pertama Piala FA, kelmarin.
Oleh Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Terengganu tidak tertekan berikutan kekalahan kepada LionsXII dalam aksi separuh akhir pertama Piala FA malam kelmarin sebaliknya percaya laluan pasukan Peteh ke final masih terbuka.

Selain itu, aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Mizan yang sekian lama tidak digunakan, bakal membakar semangat anak buah jurulatih Abdul Rahman Ibrahim untuk memadam catatan 1-2 ketika tewas di tangan skuad negara jiran itu.

Abdul Rahman berkata, kekalahan kepada LionsXII tidak begitu menggusarkan beliau yang tetap positif dan tenang kerana tempoh 90 minit masih berbaki di Kuala Terengganu dan ia bakal menjadi penentu arah kepada Peteh yang begitu dahagakan kejuaraan selepas sekian lama tidak mengucup sebarang kejuaraan.

“Berdasarkan corak diperagakan pemain malam semalam (kelmarin), saya yakin Terengganu mampu membenam cabaran LionsXII biarpun pasukan itu mempunyai kelebihan satu jaringan.

“Selain itu, saya mengharapkan dua penyerang import yang tidak diturunkan pada aksi pertama iaitu Paulo Rangel yang juga penjaring terbanyak pasukan dan pemain dari Jepun Iseey Nakajima Faran mampu membuatkan Terengganu tersenyum,” katanya yang tetap optimis Terengganu mampu mara ke final Piala FA.

Mengulas aksi malam kelmarin, jurulatih berpengalaman itu mengakui, secara keseluruhan corak dipamerkan anak buahnya begitu menarik biarpun bermain di tempat lawan.

Beliau berkata, pemain bukan saja mempunyai peluang mencetak jaringan tetapi persembahan anak buahnya juga mempunyai kualiti tersendiri biarpun beraksi di padang rumput tiruan.

“Saya bangga dengan corak pemain tempatan yang beraksi dengan baik sehingga berjuang pada minit akhir perlawanan untuk memburu jaringan penyamaan, cuma nasib tidak menyebelahi kami untuk menjaringkan lebih banyak gol.

“Selain itu, keinginan pemain untuk menang amat jelas dan semangat sebegini akan di bawa ke Kuala Terengganu untuk aksi timbal balik pada 16 Mei untuk menentukan slot ke final,” katanya.

Bagaimanapun, jurulatih berusia 69 tahun itu menuntut anak buahnya supaya lebih tajam ketika berada di depan pintu gol lawan serta tidak terlalu memberi ruang kepada pasukan lawan.

“Pada awal permainan, pihak lawan lebih menguasai sehingga berjaya menghasilkan dua jaringan, namun kita berjaya bangkit pada penghujung babak pertama dan separuh masa kedua untuk menyaingi kepantasan mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mei 2015 @ 8:01 AM