BATU kapur tertimbus antara keunikan Pinnacles Lake Malim Nawar.
BATU kapur tertimbus antara keunikan Pinnacles Lake Malim Nawar.
Nurul Husna Mahmud


PENJELAJAH destinasi sejarah semestinya sedia arif dengan reputasi Kampar seperti mana Ipoh pada awal kurun ke 19 yang menjadi bandar perlombongan utama di Perak.

Kepesatan itu didorong pelombong Eropah dan juga Cina apabila ada yang menggunakan kapal korek serta pam palong.

Namun sebaik kemerosotan pasaran timah pada awal tahun 1983, industri itu makin malap dan sebahagian lombong ditinggal begitu sahaja.

Kesan daripada aktiviti terbabit, kawasan pelombongan itu yang juga sebahagian jajaran dan dataran batu kapur berubah menjadi 'khazanah' unik yang boleh dikaji serta diterokai.

Fenomena pembentukan batu kapur dengan rupa bentuk dan tekstur unik akibat aktiviti itu juga adalah sebahagian daripada pembentukan fenomena karst.

Kampar adalah sebahagian daripada kawasan Lembah Kinta yang memiliki 80 jajaran dan dataran batu mineral unik atau jajaran karst yang tertimbus.

Dalam pencarian mineral atau fenomena semula jadi itu, dua peminat aktiviti dan penggiat sukan lasak, Ching Boon Tat yang mesra disapa Tat dan Mohamad Shahrul Izwan Mohd Shafie berusaha menjejak destinasi karst batu kapur itu.

Hasilnya mereka menemui 'port' atau lokasi menarik untuk diteroka bagi peminat fenomena semula jadi itu yang terletak di Malim Nawar.

Kata Ching, Pinnacles Lake Malim Nawar adalah puncak batu kapur tertanam di dalam tasik.

"Puncak batu kapur tertimbus di kawasan Malim Nawar memiliki ciri-ciri unik dan terhasil akibat aktiviti pelombongan.

"Bagi penjejak tarikan batu kapur seperti saya yang mengumpul data sebagai kajian dan hobi melihatnya sebagai satu khazanah perlu dicari serta dikongsi.

"Di Malaysia ramai tahu mengenai kewujudan bukit batu kapur tetapi karst iaitu pembentukan geologi yang unik ini masih ramai kurang tahu atau sedar mengenainya. Jadi kesedaran itu harus ditingkatkan.

"Kajian mineral dan sumber geologi ini patut dikongsi kepada masyarakat supaya pemeliharaan dan pemuliharaan lokasi yang pernah menjadi pusat kuari aktif boleh berpotensi meraih perhatian orang ramai," katanya.

Malah Jun lalu, Tat yang juga jurulatih rekreasi KC Outdoor Recreation menganjurkan bulan kesedaran karst dengan memberi peluang kepada 10 peminat alam semula jadi untuk menikmati pemandangan di tasik unik itu.

"Maklum balas saya terima, rata-rata pengunjung yang melakukan aktiviti berkayak di kawasan Pinnacles Lake Malim Nawar ini mengakui ia aktiviti penerokaan unik.

"Malah apabila dikongsi dalam media sosial, pemandangan kawasan tasik tidak seperti lokasi dalam negara.

"Visual tasik jernih dengan latar batu kapur dan tumbuhan akuatik hidup di permukaan tasik membuatkan ia cukup menonjol," katanya.

Tambah Tat, potensi lokasi itu sebagai destinasi eko pelancongan boleh direalisasikan jika kerajaan atau ada pihak tertentu dapat membangunkan infrastruktur seperti tandas dan jalan yang cantik.

"Lokasi tasik ini boleh popular seperti Tasik Cermin atau Gunung Lang di Ipoh kerana panorama atau batu semula jadi sekitar tasik memiliki tekstur menarik.

"Ini juga boleh menjadi pusat rujukan dan kajian penting untuk kajian geologi," katanya.

Sementara itu, rakannya, Mohamad Shahrul Izwan berkata, kewujudan tasik unik itu mengujakan buat peminat aktiviti rekreasi tempatan.

"Tiada lagi aktiviti kayak atau rekreasi air dengan pemandangan sebegini. Ini memberi kelainan kepada peminat aktiviti lasak mencuba destinasi baru.

"Saya dan Tat, memberi peluang kepada mereka untuk melihat keindahan mineral iaitu batu kapur yang juga sebahagian khazanah semula jadi tempatan.

"Kalau sebelum ini orang mahu melihat batu kapur perlu masuk gua dan mendaki puncak, tetapi di Malim Nawar, kerana hanya perlu mendayung di tasik," katanya.

Apatah lagi lokasi ini baru, beliau menyarankan mendapatkan khidmat operator aktiviti rekreasi bertauliah dalam memastikan keselamatan.

"Walaupun lokasi ini cantik, tetapi masih perlu berhati-hati kerana ia bekas aktiviti lombong.

"Perlu mendapatkan khidmat profesional bagi mengelak risiko kemalangan ketika menjelajah tasik ini.

"Pastikan mengenakan jaket keselamatan dan lakukan sedikit pembacaan supaya mendapat gambaran mengenai bentuk muka bumi dan persekitaran tasik terbabit," katanya.

Menyentuh waktu sesuai untuk jelajah, kata Mohamad Shahrul Izwan, pagi adalah terbaik kerana sinaran matahari dan kejernihan air lebih baik.

"Pandangan peribadi waktu terbaik adalah pagi kerana petang biasanya cuaca mendung dan hujan.

"Hasil gambarnya lebih baik dan cantik. Selain itu masa untuk jelajah tasik juga lebih panjang," katanya.

Ketika ini kata Mohamad Shahrul Izwan, dia dan Tat hanya memiliki 10 kayak untuk satu masa bagi menjelajah sekitar tasik.

"Selain berkayak, pengunjung tasik ini boleh meneroka Gua Batu Anak Tempurung yang tidak jauh dari lokasi tasik.

"Mereka boleh bandingan struktur atau tekstur batu kapur di tasik dan gua," katanya.

Dia dan Tat mula menjelajah tasik itu sejak 2021 dan ketika ini sedang merangka usaha untuk menarik lebih ramai pengunjung mencuba aktiviti kayak di tasik terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2024 @ 7:01 AM