Najiy Jefri

PROGRAM Konvensyen Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) 2024 yang julung kali diadakan dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Sabtu lalu meriah dengan kehadiran orang ramai khususnya penggiat seni.

Acara yang berlangsung di Finas, Hulu Klang itu berjaya menyatukan pelbagai pihak dengan tujuh pengisian utama iaitu sesi Business Matching, Booth-Booth, Apresiasi Filem, Masterclass, Open Casting, Wayang Pacak LED serta Dialog Industri Kreatif.

Pengerusi FDAM, Datuk Afdlin Shauki berkata, Konvensyen FDAM 2024 diadakan bagi memberi pendedahan kepada orang ramai khususnya penggiat seni mengenai fungsi persatuan yang bernaung di bawah Finas.

"FDAM bukan sekadar persatuan yang dinaungi pengarah drama, dokumentari dan filem semata-mata, sebaliknya ia sebagai wadah Finas dalam menjaga dan memajukan industri perfileman, penerbitan kandungan digital serta yang paling utama penggiat seni bergelar pengarah.

"Kerjasama ini membuktikan komitmen FDAM dan Finas yang selama ini terjalin erat dalam memajukan industri perfileman dan kreatif secara bersama," katanya.

Menurut Afdlin, pelbagai inisiatif dilakukan bagi membincangkan isu dan permasalahan yang berlaku dalam industri perfileman.

"Dalam masa sama, penganjuran ini juga kami ingin mencari penyelesaian kepada permasalahan ahli serta penambah baikan yang perlu ada untuk memajukan industri perfileman selaras dengan slogan persatuan Kreativiti Tanpa Sempadan," katanya.

Melalui sesi Business Matching, penggiat seni dan ahli FDAM berpeluang menjual kertas cadangan atau lebih dikenali sebagai 'pitching idea' mereka kepada syarikat produksi yang terbabit seperti Viu, Unifi TV, iQiyi, Astro Shaw, Infinitus, KL Post, UUM Holding, Mache All Star, Global Station, Independent Pictures, 4Wward Pictures dan A Aida Production.

Bagi Apresiasi Filem pula, naskhah arahan Mior Hashim Manap berjudul Imam dipilih dan berlangsungnya sesi tayangan khas dan sesi dialog yang turut disertai salah seorang pelakonnya iaitu Noramin, pensyarah akademik, Raja Rajeswari Seetha Raman dan dikendalikan oleh Faisal 'Chal' Ahmad sebagai moderator.

Sesi Dialog Industri Kreatif Finas, FDAM menampilkan ahli panel berpengalaman dan berpengaruh dalam industri perfileman tanah air iaitu bersama Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Datuk Azmir Saifuddin dan Ketua Pegawai Eksekutif Content Forum Malaysia (CMCF) Mediha Mahmood.

Pada acara itu juga, turut berlangsung sesi uji bakat terbuka yang disertai orang ramai dan pelakon tempatan di Studio Ho Ah Loke.

Sesi Masterclass pula menampilkan empat pengarah filem ikonik Malaysia iaitu U-Wei Saari, Prof Mahadi J Murat, Datuk Yusof Haslam dan Adrian Teh yang berkongsi kejayaan mereka sebagai pembikin filem.

Sebelum melabuhkan tirai, penggiat seni dan orang ramai berpeluang merasai pengalaman menonton Wayang Pacak LED yang diadakan di Dataran Karyawan Finas menerusi filem Pagari Bulan arahan Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2024 @ 6:30 AM