AHMAD Takhiyuddin (Dua kiri) meraikan jaringan gol. FOTO Aswadi Alias
AHMAD Takhiyuddin (Dua kiri) meraikan jaringan gol. FOTO Aswadi Alias
Oleh Zaid Salim


Kuala Terengganu: Ketiadaan ayam tambatan Farhod Tadjiev yang digantung perlawanan tidak menjejaskan rentak kemenangan pendahulu Liga Perdana, T-Team apabila membelasah Kuantan FA di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini, malam ini.

Serangan bertali arus ke kubu lawan seawal permainan membuahkan hasil apabila penyerang Ahmad Takhiyudin berjaya menggegarkan gawang lawan hasil hantaran Mohd Badrulhisham Morris pada m-41.

Sebelum itu, perancang utama tuan rumah Sadriddin Abdulallev melepaskan rembatan dari luar kotak penalti, namun mudah didakap penjaga gawang, Khairul Azman pada m-11.

Pemain lincah The Titans, Mohd Nor Hakim Hassan terlepas peluang keemasan menjaringkan gol tatkala penjaga gol pelawat sudah tertewas pada m-16.

Begitupun, gawang pelawat akhirnya bocor menerusi pemain sayap, Ahmad Takhiyuddin Roslan yang manfaatkan hantaran Mohd Badrul Hisham Morris.

Dua minit berselang, Ahmad Takhiyuddin hampir meletakkan pasukannya lebih selesa, namun bola tendangannya terkena tiang sebelum diselamatkan Mohd Rosfaizul Azuar.

Bersambung babak kedua, pelawat dihadiahkan sepakan penalti, tetapi sepakan pemain import Tarik El Janaby pada m-50, tinggi melepasi gawang gol yang dikawal Mohd Shahril Sa'ari.

Pada minit 55, tendangan percuma Josip Milardovic dari luar kotak penalti terlepas dari dakapan Khairul Azman sebelum ditolak masuk Mohd Nor Hakim.

T-Team semakin bernafsu melancarkan serangan ke kubu pelawat dan hasilnya pemain kelahiran Uzbekistan, Sadriddin Abdullaev melepaskan rembatan terus menerjah gawang (m-64).

Muhammad Safawi menambah duka Kuantan FA menerusi jaringan pada m-79 sebelum Azrul Hazran melengkapkan pesta gol tuan rumah pada m-90 perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mei 2015 @ 11:04 PM