Oleh Nor Faizah Mohamed


Banyak perkara yang boleh dilakukan dalam usaha menyumbang kepada aktiviti kebajikan bagi membantu golongan memerlukan.

Menderma dan melakukan aktiviti sukarelawan antara usaha yang kerap dilakukan apabila sesebuah badan, organisasi atau individu memerlukan bantuan.

Sekumpulan penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM) bagaimanapun tampil unik dalam melaksanakan tanggungjawab sosial mereka kepada masyarakat menerusi aktiviti berbasikal sejauh 22.6 kilometer mengelilingi institusi pengajian tinggi terbabit.

Dalam usaha meraih dana untuk disalurkan kepada Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF), 168 peserta mengharungi beberapa laluan mencabar yang akhirnya berjaya mengumpul RM1,200. Penganjuran program dikenali 'Mountain Bike in UPM-Pedal for Kidney and Charity' ini adalah antara inisiatif di bawah platform tanggungjawab sosial 88 pelajar jurusan Sains Taman dan Rekreasi di bawah Fakulti Perhutanan bagi memenuhi keperluan subjek Pembangunan Produk Rekreasi.

Dengan setiap bayaran penyertaan kayuhan, RM10 disalurkan kepada NKF dan penyertaan terbuka kepada peminat aktiviti berbasikal ini.

Antara trek mencabar ialah Ladang 16 di Taman Pertanian Universiti (TPU), selain beberapa laluan berbukit sekitar kawasan fakulti dan kolej kediaman mahasiswa.

Menurut Pengarah Programnya, Mohamad Kharsidi Mohd Kasim, jumlah dana yang dikumpul itu akan digunakan untuk membantu NKF dalam usaha memperkasakan lagi program pendidikan dan kesedaran mengenai kepentingan menjaga buah pinggang.

"Objektif utama kayuhan amal ini adalah untuk mengumpul dana bagi disalurkan kepada NKF dan dalam masa sama melakukan aktiviti menyihatkan badan, sekali gus mempromosikan UPM sebagai kampus hijau serta kampus berbasikal.

"Ini antara komitmen kami untuk turut sama membantu dan membabitkan diri dengan komuniti.

"Program 'Mountain Bike in UPM-Pedal for Kidney and Charity' ini juga menawarkan platform lain untuk kami bekerjasama dengan penaja, sekali gus mengukuhkan lagi hubungan sesama rakan sebaya menerusi galakan kepada gaya hidup sihat," katanya.

Program ini menampilkan tujuh rakan penaja iaitu Tourism Malaysia, The Bicycle, KSH bicycle, majalah Cycling Malaysia, Procycle, SariTeknik Sdn Bhd dan MBH.

Ia juga menerima sokongan penuh daripada Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (TNC HEPA UPM), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran dan dirasmikan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Mirza Mohammed Taiyab. Menariknya, program ini dilakukan sepenuhnya oleh kumpulan pelajar terbabit dengan masa persediaan kurang dua bulan.

Selain acara berbasikal, beberapa aktiviti menarik turut diadakan dan tumpuan pastinya terarah kepada acara cabutan bertuah.

Tidak ketinggalan pemeriksaan kesihatan dijalankan di atas bas NKF membabitkan pemeriksaan tekanan darah tinggi, indeks jisim tubuh, ukur lilit pinggang, ujian air kencing, tahap kolesterol, gula dalam darah dan sesi kaunseling.

Fakulti Sains juga turut meminjamkan 40 basikal dan helmet untuk pelajar UPM yang tidak memiliki basikal bagi menjayakan program terbabit.

Sebagai balasan, pelajar perlu menukarkan empat tin atau lapan botol kosong bagi membolehkan mereka meminjam basikal terbabit selama sehari.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Disember 2014 @ 5:00 AM