Oleh Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur: Prestasi dagangan serta pelaburan antara Malaysia dan Kesatuan Eropah (EU) terus mengukuh menerusi pertambahan angka dagangan serta kesediaan pelabur daripada kesatuan itu untuk mengembangkan perniagaan di negara ini.

Tahun lalu, nilai dagangan antara Malaysia dan EU mencatatkan sejumlah RM144 bilion berbanding RM135.7 bilion pada tahun sebelumnya manakala, kemasukan pelaburan dari EU ke Malaysia merekodkan sebanyak RM8.6 bilion daripada RM5.11 bilion dengan membuka 9,980 peluang pekerjaan.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Dr Rebecca Sta Maria berkata, perkembangan itu disokong persekitaran perniagaan kondusif di Malaysia yang menawarkan kepercayaan serta kemudahan kepada pelabur untuk terus menyuntik pelaburan ke Malaysia.

Beliau berkata, menerusi perbincangan pihak kerajaan dengan Dewan Perdagangan dan Industri EU-Malaysia (EUMCCI), Malaysia menerima maklum balas posotif daripada segi kesediaan mereka untuk beroperasi di negara ini dan optimis ia adalah aktiviti pasaran yang memberangsangkan.

“Kita akan terus memberi bantuan kepada pelabur asing termasuk EU untuk terus menyuntik pelaburan ke Malaysia dan ketika ini terdapat beberapa projek dibincangkan antara MITI dan EU.

“Selain itu, dalam lawatan kami dengan pelabur EU yang beroperasi di sini, mereka berhasrat untuk mengembangkan perniagaan dan tiada antara mereka yang ingin menarik pelaburan atau mengecilkan aktiviti pelaburan mereka di sini,” katanya selepas menyampaikan Ucaptama Forum Perdagangan dan Pelaburan EU-Malaysia 2015 yang memfokuskan isu cabaran untuk berkembang di ASEAN di sini, semalam.

Hadir sama, Duta dan Ketua Deligasi EU ke Malaysia, Luc Vendebon dan Pengerusi EUMCCI, Fermin Fautsch. Selain itu, Pengerusi Institut Kajian CIMB ASEAN (CARI), Tan Sri Dr Munir Majid turut menjadi salah seorang panel bagi membincangkan isu berkaitan peluang serta cabaran perniagaan di ASEAN.

Sementara itu, mengulas mengenai perkembangan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Malaysia dan EU, Rebecca berkata, kedua-dua pihak masih menilai untuk melaksanakan perkara itu, tetapi buat masa ini ia masih belum mempunyai perkembangan baru.

“Kita masih membuka peluang untuk perbincangan dalam perkara itu dan Wisma Putra sedang mengkaji Perjanjian Kerjasama Perkongsian (PCA) memandangkan EU FTA memerlukan PCA,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 April 2015 @ 9:29 AM