Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur: Malaysia bersama rakan komuniti ASEAN yang lain melancarkan Pelan Tindakan Hak Harta Intelek ASEAN 2016-2025 sejajar dengan pembentukan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) 2015 yang ingin mengeratkan pelbagai kerjasama perdagangan antara negara anggotannya.

Pelan tindakan itu yang dibangunkan bersama Kumpulan Kerja Kerjasama Harta Intelek ASEAN (AWGIPC) menyenaraikan 19 inisiatif untuk dilaksanakan dalam tempoh sembilan tahun dan ia bertujuan mengharmonikan pendaftaran serta prosedur dan memperkasakan hak harta intelek di peringkat rantau ASEAN.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Henry Sum Agong berkata, antara 19 inisiatif yang akan digerakkan ialah mengurangkan tempoh proses pemohonan cap dagangan yang mengambil masa hanya enam bulan dan menguatkuasakan sistem hak cipta 2015.

Beliau berkata, AWGIPC dianggotai wakil pegawai tertinggi pejabat harta intelek negara ASEAN yang memfokuskan kepada pembangunan, daya saing dan integrasi rantau ASEAN.

“Antara fungsi dan peranan AWGIPC untuk memastikan pematuhan oleh negara ASEAN terhadap persetujuan antarabangsa berkaitan harta intelek selaras dengan aspek berkaitan perdagangan perjanjian hak harta intelek (TRIPS) dan koordinasi mengenai harta intelek termasuk penguatkuasaan dan pentadbiran.

“Bagaimanapun, pelan tindakan ini masih tidak mencapai kata sepakat bagi melaksanakan pendaftaran tunggal harta intelek di peringkat ASEAN. Namun, dengan adanya penyelarasan piawaian akan memberi manfaat kepada semua negara anggota meningkatkan kerjasama dalam bidang ini,” katanya selepas merasmikan mesyuarat AWGIPC ke 51 di sini, semalam.

Mesyuarat itu yang berlangsung pada 22 hingga 25 November ini dihadiri pegawai tertinggi dan wakil dari pejabat harta intelek negara ASEAN yang dianggarkan seramai 35 orang termasuk rakan dialog dari Organisasi Harta Intelek Dunia (WIPO), Paten Amerika Syarikat dan Pejabat Cap Dagangan (USPTO), Pejabat Harta Intelek China, Jepun dan sekretariat ASEAN.

Sementara itu, Ketua Pengarah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (myIPO), Datuk Shamsiah Kamaruddin berkata, pelan tindakan itu memberi peluang kepada Malaysia dan negara anggota ASEAN yang lain untuk menarik lebih ramai pelabur serta kemudahan peniaga di rantau berkenaan.

Beliau berkata, ini kerana keharmonian undang-undang memudahkan peniaga dan pelabur memahami syarat tunggal yang diwujudkan bersama dalam kominiti negara ASEAN.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 November 2016 @ 7:07 AM