Meer  (tengah) bersama isteri,  Zarida (dua dari kiri) memotong kek sempena sambutan 30 tahun Habib di bilik pameran  Semua House, Kuala Lumpur, semalam.
Meer (tengah) bersama isteri, Zarida (dua dari kiri) memotong kek sempena sambutan 30 tahun Habib di bilik pameran Semua House, Kuala Lumpur, semalam.
Fazurawati Che Lah


Kuala Lumpur: Kedai barang kemas terkemuka HABIB Jewels Sdn Bhd (HABIB) terus melakar kejayaan apabila syarikat itu berjaya menembusi pasaran peringkat antarabangsa.

Pengarah Urusannya Datuk Seri Meer Habib berkata, dua kedai barangan kemas Pandora dibuka di Brunei pada pertengahan November lalu.

“Pertengahan November lalu, kita membuka satu cawangan HABIB di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei dan yang keduanya di sebuah pasar raya iaitu The Mall di Gadong, Bandar Seri Bagawan.

“Melalui pembukaan itu, kami menyasarkan jualan bagi suku pertama adalah RM1.5 juta,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Sambutan 30 tahun HABIB di Kuala Lumpur di bilik pameran Semua House, di sini, semalam.

Turut hadir isteri beliau merangkap Pengarah Eksekutif Kumpulan HABIB Datin Seri Zarida Noordin.

Sempena sambutan itu, HABIB turut memberi potongan harga antara RM8 dan RM25 segram bagi kedai emas cawangan itu.

Meer berkata, melalui pembukaan cawangan HABIB di peringkat antarabangsa itu, ia menjadi platform syarikatnya untuk terus mengukuhkan jenama barang kemas ke peringkat dunia.

“Kita juga sedang merancang untuk membuka cawangan di Singapura dan Indonesia.

“Ini kerana permintaan emas dari negara Asean adalah sama dengan masyarakat di Malaysia,” katanya.

HABIB yang kini mempunyai 31 cawangan kedai emas memiliki lebih 10,000 reka bentuk barangan kemas dalam bentuk emas, berlian dan permata yang berkualiti tinggi dari dalam dan luar negara.

Selain itu, kempen Bonanza Telur Emas yang sedang berlangsung sehingga 2 Januari 2017 menawarkan lebih banyak diskaun dan promosi istimewa bagi mereka yang ingin mendapatkan emas berkualiti pada harga berpatutan.

Bonanza Telur Emas ialah salah satu kempen terbesar Habib yang diadakan pada hujung tahun bagi menghargai pelanggan setianya.

Ia menjanjikan tawaran menarik untuk semua koleksi barang kemas yang terdiri daripada emas, berlian mahupun permata.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 November 2016 @ 9:42 AM