EMAS Oro Italia memukau sesuai dipakai menyambut Deepavali.
EMAS Oro Italia memukau sesuai dipakai menyambut Deepavali.
Yusliza Yakimir Abd Talib


GELANG emas berkilauan menghiasi pergelangan tangan antara elemen penting ketika meraikan Deepavali bagi melambangkan kemeriahan dan kecantikan wanita India. Malah, koleksi perhiasan diri itu menjadi lambang status dan kemewahan wanita India.

Kemeriahan dan kecantikan busana tradisi iaitu sari digayakan pada hari istimewa itu pasti tampak lebih menyerlah apabila dipadankan dengan aneka pilihan rantai, cincin dan anting-anting.

Malah, dengan kehadiran pesta cahaya yang akan disambut tidak lama lagi rasanya ramai yang sudah berura-ura mendapatkan koleksi barang kemas rekaan terkini.

Bagi mereka yang mementingkan gaya, Habib Jewels (Habib) turut mengetengahkan koleksi Oro Italia 916 untuk Deepavali ini.

Pengurus Besar Komunikasi Korporat Kumpulan Habib Yasheeda Yashaiya berkata, koleksi Deepavali itu menumpukan sentuhan mewah dan unik malah ada antaranya dihiasi batu permata dan berlian.

Menampakkan keunikan rekaan pada gelang tangan yang sering diberikan tumpuan oleh wanita India, katanya, koleksi itu menampilkan kilauan keemasan dengan emas putih untuk memberikan sedikit kesegaran.

“Lazimnya, koleksi perhiasan diri adalah emas kuning semata-mata. Habib menggabungkan sedikit emas putih sebagai tanda kemeriahan perayaan itu.

“Wanita moden kaum ini juga kini semakin meminati berlian dan menjadikannya antara pilihan untuk bergaya pada musim perayaan.

“Walaupun tidak banyak rekaan bertemakan perhiasan India, kami percaya koleksi Oro Italia 916 yang baharu akan menarik perhatian pelanggan daripada kaum itu,” katanya ketika ditemui pada pelancaran koleksi sempena Deepavali di Habib Ampang, baru-baru ini.

Menurutnya, idea rekaan koleksi Oro Italia 916 diperkenalkan ketika Hari Kebangsaan lalu bagi memupuk perpaduan semua kaum di Malaysia lalu memutuskan untuk membuat reka bentuk yang boleh dipakai oleh semua.

Yasheedah turut berkongsi, ada tiga reka bentuk barang kemas India - Bombay, Calcutta dan Madras.

Reka bentuk Bombay lebih tradisional manakala Calcutta dihasilkan dengan seni pertukangan yang halus dan rumit. Oro Italia 916 dikelaskan sebagai reka bentuk Calcutta.

Bermula 24 Oktober hingga 3 November ini juga, Habib akan mengadakan Pameran Jenama Antarabangsa di pusat membeli-belah The Curve, Centre Court, Mutiara Damansara, Petaling Jaya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Oktober 2019 @ 5:40 AM