Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia melihat pasaran farmaseutikal tempatan berkembang kukuh dengan pertumbuhan antara lapan hingga 10 peratus setiap tahun walaupun berdepan dengan keadaan ekonomi global yang tidak menentu.

Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmaseutikalnya, Datuk Eisah Abdul Rahman berkata, Malaysia sentiasa komited untuk memperkukuhkan industri berkenaan menerusi kedudukannya di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) dalam projek permulaan (EPP) kedua dan ketiga.

Beliau berkata, menerusi NKEA, kerajaan serius untuk menarik lebih banyak pelaburan dalam industri berkenaan dan meningkatkan pengeluaran produk berkualiti serta diiktiraf badan kesihatan antarabangsa, sekali gus membolehkan Malaysia menjadi contoh kepada negara membangun lain.

“Ketika ini, kami eksport serta import produk farmaseutikal tidak seimbang kerana import produk perubatan negara masih tinggi dan strategi di bawah NKEA membolehkan kita mengurangkan eksport pada masa depan.

“Tambahan pula, kemampanan industri halal juga memberi kesan positif kepada industri ini kerana ia membolehkan kita mengeluarkan produk farmaseutikal halal dan mampu menerokai pasaran halal global lebih luas,” katanya kepada Bisnes Metro selepas merasmikan Pharma + Bio Manufacturing 2014 di sini, semalam.

Pharma + Bio Manufacturing 2014 berlangsung dari 19 hingga 21 November ini disertai pelbagai pemain industri bioteknologi dan farmaseutikal bagi menampilkan produk inovasi masing-masing kepada pemasar berpotensi tempatan dan antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 November 2014 @ 5:17 AM