Sofyan Rizal dan Wan Nur Ameera Meor Rozman

Kuala Lumpur: Program Transformasi Ekonomi (ETP) melakar pencapaian besar sepanjang 2014, sekali gus berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran negara maju menjelang 2020.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, dasar ekonomi Malaysia berkesan dan asas ekonomi negara terus kukuh dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) diunjurkan berkembang antara 4.5 dan 5.5 peratus pada tahun ini.

Beliau berkata, defisit negara semakin kecil, rizab kukuh, mempunyai institusi kewangan diyakini, pengangguran yang rendah dan pelaburan asing mencecah paras tertinggi.

“Bagaimanapun perkembangan terkini perlu diambil kira. Inilah yang mendorong saya untuk mengumumkan pada Januari lalu mengenai kajian semula defisit fiskal pada 2015 dan jumlah perbelanjaan, menggunakan ruang dasar yang sudah kami wujudkan memberikan maklum balas kepada perubahan eknomi global.

“Saya juga sudah menetapkan strategi untuk bertindak balas terhadap perkembangan luaran dan memperkukuhkan daya tahan ekonomi Malaysia dengan meneruskan pembaharuan dan konsolidasi fiskal, memberi bantuan kepada rakyat serta entiti perniagaan yang terjejas akibat banjir baru-baru ini,” katanya dalam Perutusan Perdana Menteri di dalam Laporan ETP 2014.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Unit Peracang Ekonomi, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, bagi tahun lalu, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara melangkaui ramalan pakar ekonomi dan Bank Dunia yang mengunjurkan 5.7 peratus, tetapi ia mencapai sehingga enam peratus.

Beliau berkata, paling ketara pendapatan negara kasar (PNK) per kapita bergerak dalam pada trend menaik sejak ETP diperkenalkan pada 2010 yang mana ia bertumbuh 47.7 peratus pada 2010 daripada AS$7,059 dan pada 2014 mencapai AS$10,426.

“NKEA di bawah ETP dibentuk bagi mewujudkan daya saing lebih tinggi dalam sektor ekonomi yang berkemungkinan meningkatkan sumbangan kepada PNK. Malah ia juga mempelbagaikan ekonomi serta membina daya tahan serta keupayaan untuk berdepan kejutan luar.

“Pada 2014, NKEA menyumbangkan 68 peratus daripada jumlah sumbangan PNK,” katanya dalam Laporan Tahunan ETP 2014.

Dalam petunjuk utama yang menyentuh peningkatan peluang pekerjaan menunjukkan sejak 2009 kadar pengangguran menyusut dari 3.7 peratus kepada tiga peratus pada Disember 2014. Bagi keseluruhan tenaga kerja Malaysia berjumlah 14.18 juta, 13.75 juta daripadanya diambil bekerja.

Wahid berkata, selain itu, sejak ETP dilancarkan pada 2010, 1.8 juta pekerjaan diwujudkan dengan 1.5 juta dalam sektor NKEA.

Katanya, sumbangan pelaburan swasta juga terus berkembang melepasi pelaburan awam iaitu daripada 52 peratus pada 2009 kepada 64 peratus pada 2014 yang menunjukkan kejayaan untuk menjadikan sektor swasta sebagai pemacu ekonomi.

“Langkah konsolidasi fiskal juga berjalan mengikut perancangan apabila Malaysia berjaya mengurangkan defisit fiskalnya dan kita telah mengurangkan daripada 6.7 peratus pada 2009 kepada 3.5 peratus pada 2014 dalam usaha mencapai belanjawan seimbang menjelang 2020.

“Pelaksanaan pengurangan subsidi dan pengapungan harga minyak juga membantu mengurangkan perbelanjaan kerajaan sebanyak RM11 bilion pada 2015. Manakala, pelaksaaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) mampu mengumpulkan hasil RM19.4 bilion pada tahun ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 April 2015 @ 8:27 AM