Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

Kuala Lumpur: Projek Transit Aliran Berkapasiti Tinggi (MRT) dijangka menampung sehingga dua juta penumpang sehari di Lembah Klang apabila tiga jajarannya siap dibina kelak.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menegaskan projek berkenaan dilaksanakan demi kepentingan rakyat yang berkehendak terhadap sistem pengangkutan awam yang cekap, selesa dan bersepadu.

“MRT Malaysia akan dapat menampung 2 juta penumpang sehari setelah ketiga-tiga jajaran selesai dibina,” katanya menerusi laman Facebook (FB) beliau semalam sambil mengajak orang ramai menonton dokumentari khas projek itu menerusi saluran National Geographic.

Projek MRT Lembah Klang membabitkan pembinaan jaringan pengangkutan awam berasaskan rel yang akan berintegrasi dengan sistem transit aliran ringan (LRT), monorel, KTM Komuter, KLIA Ekspres dan KLIA Transit.

Diluluskan pada Disember 2010, jajaran pertamanya adalah MRT Sungai Buloh-Kajang dengan jarak 51 kilometer (km).

Ia adalah satu Projek Penggerak Ekonomi di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang, iaitu satu daripada 12 NKEA yang merangkumi Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Program ini dilaksanakan oleh Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (PEMANDU) di Jabatan Perdana Menteri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 September 2015 @ 9:48 AM