Sibu: Takaful Ikhlas Bhd, unit milik penuh MNRB Holdings Bhd, menyasarkan untuk menjual 800 polisi pada Minggu Amanah Saham Malaysia 2015 (MSAM 2015) mulai 19 hingga 27 April ini dan mengunjurkan sumbangan tahunan bagi tahun pertama (FYAC) sebanyak RM1.5 juta.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ab Latiff Abu Bakar berkata, setakat ini syarikat itu telah memuktamadkan kira-kira 230 polisi dengan nilai FYAC berjumlah lebih RM300,000.

“Syarikat yakin dapat mencapai sasaran itu pada hari-hari terakhir MSAM 2015 berpandukan sambutan orang ramai di karnival berkenaan,” katanya.

Beliau turut menyuarakan rasa kagumnya, terutama melihat sambutan di kalangan bukan Islam biarpun polisi itu berteraskan konsep Islam.

“Mereka menganggapnya sebagai produk yang baik. Malah, kelompok itu mewakili 25 peratus daripada jumlah pelanggan kami,” katanya.

Bersempena MSAM 2015, Takaful Ikhlas turut mengadakan majlis prapelancaran produk terbaharunya, ‘IKHLASLINK Secure Takaful’ yang menerima kelulusan Bank Negara Malaysia, minggu lalu.

“Ia adalah produk berkaitan pelaburan yang menggabungkan kad perubatan dengan tempoh liputan 100 tahun dan terbukti laris. Di Kuala Lumpur sahaja, kira-kira 600 polisi telah dijual dalam hanya seminggu,” katanya.

Ab Latiff berkata, Takaful Ikhlas ketika ini menguasai kira-kira 12 peratus bahagian pasaran dan di kedudukan keempat daripada segi sumbangan pulangan kasar.

Bagi prospek masa depan, syarikat itu akan mengambil langkah termasuk mengambil lebih ramai kakitangan muda. Takaful Ikhlas juga melancarkan usaha pengambilan ejen terbaru menerusi Program Keusahawan Takaful Ikhlas serta Program Satelit di sekitar Sarawak yang dimulakan sebelum MSAM 2015. -BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 April 2015 @ 7:00 AM