Kuala Lumpur: Syarikat Takaful Malaysia Bhd (Takaful Malaysia) menjangkakan sumbangan premium pada tahun ini berkembang lebih pantas berbanding purata industri pada kadar 11 peratus.

Pengarah Urusan Kumpulan Datuk Seri Mohamed Hassan Kamil berkata, trend perniagaan dan kadar kejayaan mendapatkan pelanggan baru positif berbanding tahun sebelumnya terutamanya dalam perniagaan manfaat pekerja, yang beralih daripada insurans konvensional kepada Takaful.

“Kumpulan ini menjangka pertumbuhan sumbangan kira-kira 20 peratus bagi manfaat pekerja daripada RM300 juta yang dicatatkan tahun lalu.

“Kami juga menyasar mendapatkan 600,000 pemegang polisi, meningkat daripada 400,000 yang dicatatkan pada 2014.

“Saya percaya tahun ini akan menjadi tahun baik bagi kami,” katanya selepas mesyuarat agung tahunan dan mesyuarat agung luar biasa syarikat di sini, semalam.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014, keuntungan selepas cukai kumpulan meningkat tiga peratus kepada RM138.7 juta daripada RM134.4 juta dalam tahun sebelumnya, manakala hasil turun sebanyak 3.5 peratus kepada RM1.65 bilion.

Beliau berkata, peningkatan keuntungan itu adalah hasil daripada perbelanjaan pengurusan rendah dan nisbah tuntutan yang baik dalam perniagaan Takaful Am, sambil menambah pulangan bagi ekuiti syarikat kekal pada 24 peratus, satu daripada yang tertinggi dalam kalangan institusi kewangan di negara ini.

Takaful Malaysia mencatatkan sumbangan kasar RM958.1 juta bagi perniagaan Takaful Keluarga dalam Tahun Kewangan 2014, penurunan kira-kira sembilan peratus daripada Tahun Kewangan 2013 disebabkan jualan perniagaan baru yang rendah daripada produk berkaitan kredit.

Sumbangan kasar Takaful Am meningkat lima peratus daripada tahun sebelumnya kepada RM451.3 juta manakala kekal sebagai peneraju pasaran dalam perniagaan Takaful Keluarga Kumpulan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mei 2015 @ 5:08 AM